Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 17, 2016

DENDAM LAMA: WANITA DAN TEMAN LELAKI DICULIK


Dendam lama: Wanita dan teman lelakinya diculik


Kota Bharu - Kerana dendam lama, sepasang kekasih berdepan igauan ngeri apabila disamun dan diculik tujuh individu di sebuah hotel di Wakaf Che Yeh, tengah hari kelmarin.

Tidak cukup dengan itu, dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, kedua-duanya dibawa lebih 10 kilometer ke kawasan reban ayam di Nilam Puri selain dipukul dengan besi, dicucuk guna kaca lampu kalimantang serta ditumbuk.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Ab Rahman Ismail berkata, kejadian bermula ketika kedua-dua mangsa berusia 24 tahun berada di sebuah pusat karaoke di Wakaf Che Yeh.

“Dipercayai dua suspek menghampiri kedua-dua mangsa dan mengheret mereka ke dalam kereta sebelum di bawa ke Nilam Puri dan dicederakan beberapa lagi individu yang berada di kawasan itu.

“Selepas dicederakan, mereka dilepaskan dan terus membuat laporan polis. Ekoran itu kita menghantar pasukan (Siasatan Khas) D9 dan D10 (Forensik) untuk mengesan mereka yang terlibat,” katanya.

Ab Rahman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan suspek mengenali mangsa dan kemungkinan pasangan tersebut berhutang dengan individu berkenaan.

“Setakat ini kita masih menjalankan siasatan. Berhubung bunyi letupan yang dikatakan dilepaskan di kawasan itu yang didengari mangsa, ia adalah bunyi mercun bola dan bukannya tembakan,” katanya.

Beliau berkata, turut dirampas dalam tangkapan itu, sebilah sabit, sebatang kayu penyapu, tukul besi, mentol kalimantang yang pecah dan sebatang besi untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam, seramai 15 suspek yang terbabit dalam kes culik dan samun dua mangsa telah ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, empat suspek ditahan kelmarin dan 11 lagi ditahan pada jam 3.30 petang semalam di sekitar Kota Bharu.

Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia 20 hingga 30-an itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan 506 Kanun Keseksaan.

“Polis bertindak pantas menahan tiga lelaki dan seorang wanita sejurus selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


0 comments:

share2