Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 4, 2016

GERBANG MAHKOTA JADI TARIKAN


Gerbang Mahkota jadi tarikan


Johor Bahru- Gerbang Mahkota di hadapan pintu utama Istana Bukit Serene, di sini, salah satu mercu tanda institusi diraja Johor, dilihat mampu menjadi tarikan utama rakyat dan pengunjung ke bandar raya ini.

Menariknya, hiasan kreatif yang dipamerkan di lokasi berkenaan adalah ilham tersendiri Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu ia menjadi salah satu lambang rakyat Johor.

Komponen utama yang menjadi tarikan adalah replika mahkota kebanggaan Johor seberat 2,800 kilogram yang diletakkan pada ketinggian 20.9 meter.

Selain itu, gerbang tersebut juga dikatakan disaluti dengan 3,063 kristal berwarna biru, putih, merah, hijau, merah jambu dan ungu mengikut 17 jenis saiz berbeza bagi menjadikan struktur tersebut unik dan menarik perhatian.

Struktur yang menyokong replika mahkota pula difahamkan menggunakan elemen pentagon sebagai simbolik Rukun Islam yang menjadi pegangan hidup masyarakat Islam.

Monumen yang siap dibina sepenuhnya Mac tahun lalu itu juga dijadikan salah satu simbolik kemahkotaan Sultan Johor kelima dalam era Johor Moden.

Penduduk setempat, Imran Kamarudin, 36, berkata, lokasi dan persekitaran yang tenang menjadi faktor utama dia membawa keluarga ke Gerbang Mahkota beriadah serta meluangkan masa bersama.

“Boleh dikatakan setiap hujung minggu saya akan bawa keluarga untuk beristirahat dan meluangkan masa berkualiti di sini.

“Persekitaran yang cantik, lengkap dengan air pancut menyebabkan anak-anak saya begitu teruja untuk datang ke sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, perasaan terasa akrab dan seakan mengenali keluarga diraja Johor juga merupakan salah satu faktor utama dia berkunjung ke Gerbang Mahkota.

“Lokasi ini sememangnya kebanggaan rakyat Johor.

“Saya sebagai anak jati Johor juga rasa seperti begitu rapat dan mengenali keluarga diraja Johor apabila berkunjung ke lokasi ini,” katanya.

Sementara itu, pengunjung dari Kuala Lumpur, Norulhiwan Majid, 32, pula berkata, dia begitu teruja dan kagum dengan keindahan seni bina di sekitar kawasan berkenaan.

“Ini kali pertama saya ke sini, sebelum ini hanya dengar daripada rakan sahaja.

“Memang cantik, dan mempunyai keunikan tersendiri, yang membuatkan lebih kagum adalah reka bentuk mahkota yang digunakan begitu menarik perhatian,” katanya.

Selain Gerbang Mahkota di hadapan pintu utama Istana Bukit Serene, turut dibina Gerbang Mahkota di Muar sebagai tanda mengenang pengisytiharan daerah tersebut sebagai Bandar Diraja pada November 2012.


0 comments:

share2