Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 21, 2016

HANYA SEMPAT LAUNG AZAN


Hanya sempat laung azan


SEGAMAT - Sepasang suami isteri di Kampung Padang Lalang, Kampung Jawa, di sini, hanya sempat melaungkan azan selepas melihat bumbung rumah mereka diterbangkan ribut, petang Ahad lalu.

Wakiman Abdullah, 68, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, dia bersama isterinya, Maryati Turiman, 57, sedang berehat di ruang tamu rumahnya sambil menjaga dua cucu mereka, Ahmad Fadullah Irfan, 5, dan Ahmad Faiz Luqman, 2.

"Ketika itu saya memang rasa tak sedap hati selepas terdengar bunyi angin kuat di luar rumah. Jadi saya minta isteri pegang cucu-cucu kami kerana bimbang kejadian buruk akan berlaku.

"Tak lama kemudian, bumbung ruang tamu rumah tercabut dan saya melihat pusaran angin menuju ke belakang rumah. Ketika itu juga saya dan isteri tak henti-henti melaungkan azan,” katanya.

Menurut bapa kepada tujuh anak itu, dalam ketakutan, dia segera memeriksa keadaan rumahnya dan mendapati selain bumbung ruang tamu, bumbung bilik tidur dan bahagian dapur turut diterbangkan angin.

Katanya, semua barangan dalam rumah seperti almari dan pakaian juga basah akibat hujan.

"Bagaimanapun saya bersyukur isteri dan cucu saya selamat. Ini kali kedua rumah saya dilanda ribut dan kejadian pertama berlaku kira-kira 30 tahun lalu, namun kerosakannya tidak seteruk kali ini.

"Buat sementara, saya menutup bumbung yang rosak menggunakan plastik kanvas kerana untuk membaikinya mungkin menelan kos ribuan ringgit, lagipun saya belum membeli barang-barang yang diperlukan," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Jawa, Hassan Sitam berkata, dalam kejadian itu, dua rumah mengalami kerosakan dan semua mangsa telah membuat laporan polis sehari selepas kejadian.

Katanya, beliau juga sudah memaklumkan perkara itu kepada pemimpin setempat dan pihak bertanggungjawab bagi membolehkan kesemua mangsa menerima bantuan segera.


0 comments:

share2