Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 8, 2016

[TEMERLOH] BERISIKO TAPI UPAH LUMAYAN


Berisiko tapi upah lumayan


Tawaran kerja yang semakin kurang dan pendapatan yang tidak menentu sebagai pemotong rumput 10 tahun lalu mendorong Ikmal Ab. Rahman, 36, dari Kampung Padang Tenggala, Seberang Temerloh di sini untuk mencuba pekerjaan baharu sebagai penebang pokok.

Bapa kepada dua anak itu berkata, pada awalnya dia hanya menggunakan kaedah biasa seperti orang lain dengan menebang pada pangkal pokok namun ia memerlukan tenaga kerja yang ramai untuk menarik batang pokok yang ditebang bagi mengelakkan tumbang dan terkena rumah penduduk.

Menurutnya, diawal penglibatannya sebagai penebang pokok, dia menolak tawaran sekiranya pokok yang hendak ditebang berada berhampiran rumah kerana bimbang pokok yang ditebang tumbang menghempap rumah.

“Selepas beberapa kali ditawarkan menebang di kawasan yang sama, saya memberanikan diri untuk menerima tawaran itu kerana bayaran untuk menebang pokok yang berhampiran rumah penduduk sangat tinggi.

“Kaedah menebang pokok yang terletak hampir dengan rumah perlu menggunakan kaedah tebang dari dari atas jadi saya terpaksa panjat dan potong batangnya sedikit demi sedikit,” katanya ketika ditemui selepas selesai menebang pokok kelapa di rumah penduduk Kampung Padang Tenggala di sini, semalam.

Ikmal berkata, dia akui rasa gayat atau gemuruh ketika kali pertama menebang dengan memanjat pokok tetapi lama-kelamaan perasan itu hilang kerana sudah terbiasa.

“Sejak itu, hampir semua penduduk kampung berhampiran menggunakan khidmat saya jika ada pokok yang perlu ditebang,” katanya.

Perlu 30 batang paku

Menurutnya, dalam proses menebang, dia memerlukan kira-kira 30 batang paku bersaiz enam inci untuk dipaku pada batang sebagai tangga memanjat setiap kali kerja berisiko itu dilakukan.

“Biasanya upah untuk menebang pokok kelapa RM400 manakala bagi pokok lain seperti mempelam dan durian upahnya RM800 bergantung kepada saiz serta risiko seperti berada berhampiran dengan rumah.

“Walaupun berisiko tinggi tetapi pekerjaan ini memberikan pendapatan lumayan,” katanya.

Ikmal berkata, dia tidak mengamalkan sebarang ilmu sebaliknya bergantung kepada kemahiran dan kelengkapan yang digunakan.

Katanya, biasanya dia memerlukan gergaji mesin, parang, tukul, paku dan tali pengikat badan untuk melakukan kerja-kerja menebang pokok.

“Kelebihan pandai memanjat pokok tinggi yang dimiliki sejak kecil satu kekuatan untuk saya meneruskan kerja ini demi menyara keluarga.

“Memang ada rasa gayat pada tempat tinggi, tetapi perasaan itu saya ketepikan sebaliknya saya mulakan kerja dengan langkah yang betul, dan kalau sekiranya rasa tak yakin, kerja-kerja menebang akan dibuat pada hari lain,” katanya.

Puluhan pokok ditebang

Ikmal berkata, pendapatan sebagai penebang pokok juga tidak menentu tetapi sejak tiga bulan lalu rezekinya tidak putus-putus apabila puluhan pokok sudah ditebang seperti diminta pelanggan.

“Kebanyakan pelanggan puas hati dan rasa berbaloi dengan hasil kerja saya sebab harta mereka pun tidak rosak dihempap pokok,

“Saya pernah tebang pokok kelapa yang kedudukannya hanya tujuh kaki dari atap rumah orang kampung, semua itu berjaya dilakukan dan pelanggan puas hati dengan apa yang mereka bayar,” katanya.

Menurutnya, antara pengalaman ngeri yang dialami ketika menebang pokok apabila kakinya tersepit pada dahan pokok mempelam dan terpaksa turun dalam keadaan kaki yang sangat sakit.

“Pengalaman mistik juga ada sehinggakan ada kawan yang minta saya ambil air dari tujuh telaga masjid kerana pokok yang ditebang ada penunggu,” katanya.

Ikmal berkata, selagi dia mampu dia akan meneruskan kerjaya berisiko itu kerana itu adalah kemahiran yang mungkin tidak ada pada orang lain.


0 comments:

share2