Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 21, 2015

ORANG RAMAI GEMPAR BANK ADA BOM


Orang ramai gempar bank ada bom


Sungai Petani – Pekerja sebuah bank di Central Square Sungai Petani, di sini gempar apabila menerima panggilan daripada seorang wanita mengatakan premis itu mengandungi bom kira-kira jam 1 petang semalam.

Berikutan itu, kesemua pekerja yang sibuk berurusan dengan pelanggan mula beredar mengosongkan bangunan berkenaan.

Suasana panik itu kemudian menyebabkan orang ramai berkumpul di hadapan pasar raya terbabit setelah melihat kehadiran pasukan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 1.25 petang berhubung kejadian.

“Kita dimaklumkan bahawa kakitangan bank yang terletak di pusat membeli-belah Central Square itu menerima panggilan daripada seorang wanita mengatakan ada bom di situ,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 20 anggota termasuk dari Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda melakukan pemeriksaan ke premis berkenaan dan melarang orang ramai mendekati lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan lebih dua jam di lokasi itu bagaimanapun tidak menemui sebarang bom mahupun objek yang mencurigakan di premis terbabit. Kita menyifatkannya sebagai panggilan palsu,” katanya.

Orang ramai bagaimanapun dibenarkan masuk semula ke premis terbabit kira-kira jam 3.45 petang selepas anggota polis mengesahkan kawasan itu selamat dari sebarang bahan letupan.

Katanya, panggilan seumpama itu merupakan kali pertama dilaporkan tahun ini berlaku di Kuala Muda.

Dalam pada itu, Pengurus Central Square, Simon Ho berkata, panggilan sama pernah dilaporkan berlaku di pasar raya terbabit kira-kira 10 tahun lalu.


0 comments:

share2