Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 26, 2015

KENA SAMAN WALAUPUN ADA TIKET


Kena saman walaupun ada tiket


Banting - Pihak konsesi mesin cetakan tiket parkir kenderaan di kawasan seliaan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) disarankan melakukan pemeriksaan peralatan mereka kerana pelbagai aduan daripada pengguna diterima.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, pihaknya akan menyemak semula aduan berkenaan dan meneliti punca sebenar masalah berlaku.

Menurutnya, jika benar ianya disebabkan kesilapan daripada mesin parkir, pihaknya akan mengarahkan pihak konsesi membaiki mesin berkenaan.

“Mana-mana pengguna yang telah dikenakan saman walaupun sudah membayar parkir itu perlulah membawa bahan bukti yang sah.

“Jika ianya terbukti kesilapan daripada mesin cetak, saman yang dikenakan boleh dibatalkan segera. Itu tiada masalah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas mengenai beberapa aduan orang awam mengenai cetakan kertas mesin parkir yang tidak kelihatan dan sebahagiannya kurang jelas sehingga penguatkuasa mengenakan saman terhadap pengguna.

Mohd Azhar berkata, pengguna yang dikenakan saman walaupun sudah mempunyai bukti pembayaran melalui tiket parkir boleh terus ke MDKL untuk tujuan pembatalan.

Beliau juga akan mengenal pasti lokasi-lokasi yang dinyatakan bermasalah untuk tujuan penambahbaikan.

Seorang pengguna, Mohd Rosli Amir, 47, berkata, dia belum pernah berdepan dengan masalah kerosakan mesin.

Bagaimanapun katanya, beberapa bulan lalu dia pernah menerima resit parkir yang kurang jelas tetapi tiket berkenaan diperagakan seperti biasa bagi mengelak tindakan kompaun.

Namun, dia berharap pihak berkuasa tempatan membuat pemeriksaan berkala untuk mengelak masalah tiada cetakan pada tiket berkenaan.

Seorang lagi pengguna, Munirah Rosli, 34, berkata, suaminya pernah menerima resit kosong di lokasi berhampiran deretan kedai di Jalan Morib.

Namun mujurlah terdapat penguatkusa di kawasan itu sedang membuat pemeriksaan.

“Saya segera tunjukkan resit kosong itu kepada penguatkuasa berkenaan. Dia menyuruh saya menulis di atas kertas waktu sebenar resit itu dikeluarkan bagi mengelak dikenakan kompaun,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati orang awam masih menggunakan khidmat mesin bayar parkir seperti biasa meskipun berlaku masalah cetakan.

0 comments:

share2