Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 6, 2015

NEKAD LANGGAR PERAGUT


Motosikal jenis Honda EX5 dipercayai dicuri digunakan suspek dalam kejadian ragut seorang wanita di Manjoi, semalam.


Ipoh – Seorang wanita bertindak nekad mengejar dan melanggar motosikal seorang lelaki yang meragut beg tangan miliknya di Jalan Pemimpin, Gugusan Manjoi di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah hari itu, mangsa berusia 21 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2 dengan menaiki motosikal jenis Yamaha.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa dihampiri sebuah motosikal Honda EX5 dari arah belakang sebelum lelaki berkenaan bertindak meragut beg tangannya yang diletakkan dalam raga motosikalnya.

“Mangsa bertindak mengejar lelaki itu sambil menjerit meminta tolong dan langgar motosikal suspek dari belakang menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh di hadapan Pusat Pendidikan Al-Barakah.

“Dengan kerjasama orang ramai yang turut berada di lokasi kejadian, suspek berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis. Mangsa hanya mengalami luka kecil akibat pelanggaran itu,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek yang berusia 31 tahun itu menjalankan aktiviti berkenaan dengan menggunakan motosikal yang dicuri di Kampung Rapat, bulan lalu.

“Suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau antaranya curi dan terlibat dalam dadah,” katanya.

Sementara itu, kejadian berkenaan turut dikongsi Pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah, Ustaz Mohd Kazim Elias Al-Hafiz di dalam laman Facebooknya semalam.

Beberapa gambar ketika kejadian turut dimuat naik dalam Facebook beliau.

0 comments:

share2