Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 9, 2015

JAWATANKUASA KHAS BANTU SALUR BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR

Gambar hiasan


Oleh Nur Aimidiyana Zuher

KUALA LUMPUR - Banjir luar biasa yang melanda Kelantan dan beberapa negeri lain di Semenanjung pada Disember lepas meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada lebih 200,000 mangsa yang terlibat, bahkan seluruh rakyat Malaysia.

Mangsa banjir yang rata-rata 'sehelai sepinggang' bukan sahaja kehilangan harta benda malah ada antara mereka kehilangan orang tersayang, mata pencarian dan kediaman.

Tatkala bencana banjir akhir tahun 2014 yang melanda mencemaskan rakyat Malaysia dan ramai yang berdukacita dengan musibah menimpa negara, terserlah pula keprihatinan masyarakat memberi sumbangan dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir, yang sewajarnya diberi pujian.

Begitu jua sikap kesukarelawan yang tinggi, sekali gus membuktikan perpaduan kaum masih utuh di negara ini dan masih wujud rasa bertanggungjawab untuk membantu rakyat senegara yang terjejas akibat bah.

Sehingga kini bantuan masih diteruskan dan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir antaranya keperluan makanan, pakaian, ubat-ubatan, bekalan air bersih, kelengkapan menunaikan ibadah serta peralatan untuk mencuci dan membersih kotoran akibat banjir.

Orang ramai ternyata bermurah hati dan sentiasa bersedia memberi apa jua sumbangan mengikut kemampuan mereka.

Namun persoalan kurang enak yang kedengaran adalah ada sebilangan mangsa banjir yang terpinggir dan tidak mendapat bantuan. Sedemikian keadaannya, bukankah wajar satu jawatankuasa khas diwujudkan di setiap kawasan terlibat untuk menyelaras dan memastikan kesemua mangsa banjir memperoleh bantuan segera terutamanya mereka yang tinggal di pedalaman?

ADIL DAN SAKSAMA

Merungkai persoalan itu, Presiden Pakar Malayalee Malaysia, R. Nambiar berkata penubuhan jawatankuasa khas yang bertanggungjawab menyelaras dan mengagihkan keperluan asas itu perlu bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara adil dan saksama.

Beliau berkata agihan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang tidak diselaras akan menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat kononnya bantuan tersebut hanya diberikan kepada ahli parti-parti politik tertentu.

"Kita perlu tahu agihan bekalan untuk mangsa-mangsa banjir ini kadang-kala tidak semua sampai kepada mangsa terutamanya di kawasan pedalaman akibat terputus hubungan jalan darat.

"Maka jawatankuasa ini harus tahu peranan dan tugas mereka untuk membantu sukarelawan mengagihkan bekalan kepada mangsa-mangsa banjir supaya sampai kepada mereka walaupun mangsa banjir berada di kawasan pedalaman," katanya kepada Bernama.

Nambiar yang aktif mengikuti aktiviti kesukarelawan berkata bantuan kepada mangsa banjir ini bukan hanya meliputi wang, pakaian dan makanan sahaja malah bantuan harus melibatkan kerja-kerja pembersihan kawasan banjir dan membina semula rumah yang musnah akibat banjir teruk.

"Saya kerap mendengar rintihan mereka yang mengharapkan agar kerajaan negeri dan persekutuan dapat menyelesaikan isu rumah. Ia satu proses yang panjang tetapi perlu disegerakan," katanya.

BANTUAN SENTIASA ADA

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail berkata bantuan kepada mangsa-mangsa banjir ada cuma halangan yang timbul adalah kesegeraan dalam menyampaikan bantuan kepada mereka.

Mengakui proses penghantaran bekalan dan bantuan kepada mangsa banjir mengalami kesukaran berikutan arus deras dan terputus hubungan jalan darat, beliau berkata tidak sepatutnya timbul isu menyalahkan mana-mana pihak kerana mereka yang terlibat dalam misi menyelamat bekerja keras untuk memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terjamin.

"Saya sedih dan terkilan apabila ada pihak menyatakan bantuan lambat sampai dan menuduh kerajaan lambat bertindak membantu mangsa. Malah ada yang sebarkan fitnah sedangkan mereka tidak tahu apa yang kami lalui.

"Kami bertungkus lumus untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka. Kelantan sebuah negeri yang besar dan kami cuba sedaya upaya membantu mereka," katanya yang dipilih sebagai wakil rakyat DUN Pengkalan Kubor pada pilihan raya kecil, 25 Sept tahun lepas.

Beliau berkata bencana banjir kali ini adalah yang terburuk pernah dialami negeri Cik Siti Wan Kembang dan tidak pernah terlintas di fikiran rakyat di situ bahawa 'bah kuning' yang melanda umpama tsunami.

"Allah sahaja yang tahu perasaan kami saat ini... kalau boleh kerajaan negeri dan persekutuan berbincanglah untuk atasi masalah banjir di Kelantan kerana ia bukan perkara baharu. Jawatankuasa bencana alam sememangnya telah ditubuhkan di setiap kawasan namun magnitud banjir kali ini tidak dijangka sama sekali," katanya.

MENDERMA BIAR IKHLAS

Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Mohd Alwi Che Ahmad berkata meskipun sudah ada jawatankuasa bertindak dalam pembahagian agihan bantuan kepada mangsa banjir namun kurang penyelarasan.

Mohd Alwi turut melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang mempunyai niat untuk membantu mangsa banjir tetapi tidak seikhlas hati.

"Niat menderma itu memang baik tetapi kalau setakat untuk mengosongkan almari di rumah, derma baju yang paling buruk, kotor dan berbau busuk itu tidak perlu.

"Sila letakkan diri anda di tempat mereka, adakah anda mahu pakai baju seperti itu?," katanya.

PENGAJARAN BERGUNA

Berkongsi pengalaman membantu mangsa banjir, seorang sukarelawan Sharina Jamal Abdul Nasir, 36, berkata beliau menangis apabila melihat nasib yang menimpa mereka.

"Saya terkedu dan menitiskan air mata apabila seorang mak cik memeluk saya dengan erat setelah memberikannya sepasang telekung memandangkan mak cik tersebut sudah lima hari terpaksa menunaikan solat dengan meminjam daripada orang lain.

"Saat itu saya merasakan pengajaran yang Allah berikan kepada kita... saat mana kita susah atau senang Allah adalah tempat untuk hamba-Nya mengadu," katanya dengan nada sebak.

Beliau berkata proses penghantaran bantuan kepada mangsa banjir bukan satu tugas yang mudah kerana memerlukan kenderaan sesuai untuk mengharungi arus deras tambahan pula kesukaran melalui jalan berbukit dan berliku.

Sepanjang menyertai aktiviti kesukarelawan ini, wanita yang dikenali dengan panggilan Syena melihat setiap pusat pemindahan mangsa banjir mempunyai urusetia dan jawatankuasa yang menguruskan agihan pemberian barangan dan bantuan kepada mangsa bencana.

"Memang ada urusetia atau jawatankuasa kendalikan pemberian bantuan untuk mangsa banjir tetapi saya lebih suka untuk menyampaikan sendiri bantuan kerana barangan itu adalah amanah daripada rakyat Malaysia.

"Niat saya cuma satu iaitu membantu... hari ini hari mereka, esok lusa kita tidak tahu. Mungkin hari kita pula," katanya.

0 comments:

share2