Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 22, 2014

PERINTAH MAHKAMAH HALANG PERHIMPUNAN




KUANTAN – Tindakan tegas akan dikenakan kepada sesiapa sahaja sama ada penganjur atau individu menjayakan Himpunan Hijau 622 yang dijadualkan akan diadakan pada jam 12.00 tengah hari, hari ini oleh Pakatan Pembangkang di Kawasan Perindustrian Gebeng bagi menghalang operasi kilang Lynas.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Superitendan Abdul Aziz Salleh berkata, satu perintah mahkamah sudah dikeluarkan berkuatkuasa semalam (21 Jun 2014) sehingga tempoh seminggu bagi menghalang atau melarang mana-mana pihak yang berhimpun secara haram ketika perhimpunan itu.

Menurutnya, melanggar arahan tersebut adalah dianggap sebagai menghina mahkamah dan boleh dikenakan hukuman berkaitan dan polis menangkap mana-mana penganjur atau peserta tanpa waran menerusi seksyen 20, Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Satu kertas siasatan telah dibuka dibawah seksyen 505 (b) Kanun kesiksaan dan polis masih menjalankan siasatan berdasarkan laporan syaraikat Lynas berhubung penyokong himpunan hijau akan mengadakan himpunan bagi memprotes atau melumpuhkan operasi kilang berkenaan.

“Mahkamah telah keluarkan satu perintah berhubung melarang mana-mana pihak terutama perhimpunan hijau atau mana-mana individu untuk menghampiri atau berhimpun mengadakan protes dalam lingkungan 20 meter dari syarikat Lynas.

“Jika mana-mana pihak masih ingkar atau teruskan niat, ia adalah menjadi kesalahan dan tindakan tegas akan dikenakan serta terdapat beberapa undang-undang di Malaysia boleh diguna pakai,” katanya pada sidang media di IPD, di sini, semalam.

Beliau berkata, perhimpunan berkenaan adalah secara haram kerana pihak perhimpunan hijau tidak membuat sebarang permohonan dan jika diteruskan boleh mendatangkan pelbagai masalah dan kekacauan.

“Jika tujuan mereka adalah untuk menghalang operasi kilang Lynas, ia boleh tercapai dengan lebih tertib dan tidak perlu mengadakan perhimpunan melanggar undang-undang serta Lynas adalah sebuah syarikat berdaftar dan telah mendapat kebenaran beroperasi.

“Meneruskan himpunan boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat termasuk peserta dan menimbulkan rusuhan, pergaduhan serta merosakkan harta benda awam.

“Saya seru kepada perhimpunan hijau atau mana-mana pihak supaya membatalkan hasrat dan pihak polis akan menjalankan tugas memantau keselamatan di lokasi serta bertindak kepada yang ingkar,” katanya.



0 comments:

share2