Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 22, 2014

AEDES - 12 PREMIS AKAN DIDAKWA



KUANTAN - Gara-gara gagal menjelaskan bayaran kompaun, sebanyak 12 premis di negeri ini akan didakwa di mahkamah kerana membiarkan kawasan mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, tindakan itu diambil berikutan premis tersebut ingkar membayar kompaun bernilai RM500 dan mereka boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM10,000 bagi setiap kes.

Menurutnya, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Jabatan Kesihatan Negeri telah mengesan 192,000 premis dan tapak pembinaan yang menjadi kawasan pembiakan nyamuk.

Daripada jumlah itu, 1,195 premis dikesan membiak nyamuk aedes, 881 telah dikenakan kompaun RM500 dan 314 diberi notis Seksyen 8 Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit Tahun 1975.

“Notis ini mengarahkan supaya pemilik membersihkan kawasan premis masing-masing dan daripada 881 yang dikenakan kompaun, 12 premis (rumah persendirian) tidak menjelaskan kompaun tersebut.

“Oleh itu, tindakan mahkamah harus diambil untuk memberi pengajaran kepada mereka dan juga pedoman bagi seluruh rakyat di negara ini,” katanya.

Katanya, kerajaan juga telah memperuntukkan RM100,000 untuk setiap daerah melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memerangi nyamuk aedes di kawasan mereka.

Selain itu, beliau menjelaskan, Jabatan Kesihatan sentiasa pantau setiap bulan di kawasan perumahan, premis perniagaan dan tapak pembinaan agar kawasan ini sentiasa bersih dalam memastikan nyamuk aedes tidak dapat membiak.




0 comments:

share2