Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 19, 2014

KEBAKARAN: BAYI 9 BULAN NYARIS MAUT




Alor setar - Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan adalah antara lima ahli keluarga yang nyaris maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Sekolah, Alor Merah, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, dipercayai berpunca dari kebakaran di bahagian dapur dan ruang makan sebelum merebak ke seluruh rumah kayu itu.

Mangsa, Azmi Ishak, 68, berkata, ketika kejadian beliau bersama isteri dan anak serta menantu bersama bayi mereka berada dalam rumah sebelum menyedari berlaku kebakaran.

Menurutnya, kejadian itu disedari anaknya, Nor Azah, 27, yang keluar dari bilik selepas menidurkan anak perempuannya, Che Nur Ariana Che Wahizul Hafia, dan melihat api sedang marak di bahagian dapur rumah.

"Saya terkejut apabila anak menjerit dan bergegas menuju ke dapur... tapi tak dapat buat apa-apa sebab api sudah marak. Saya suruh dia (Nor Azah) bawa keluar anaknya dulu.

"Kemudian saya terus keluar ke rumah jiran minta tolong mereka hubungi bomba," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting selain menyuruh keluarganya keluar dari rumah.

"Banyak barang dalam rumah tak sempat saya selamatkan. Antaranya sebuah motosikal, sebuah mesin, peralatan membuat kuih milik isteri dan perabot.

"Apapun saya bersyukur kerana keluarga saya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya yang mendakwa kerugian kira-kira RM50,000.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Muhamad Mahayuddin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.32 pagi dan sampai ke tempat kejadian pada 8.41 pagi.

Menurutnya, tiga jentera dengan 15 anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Kebakaran dapat dikawal pada jam 8.44 pagi dan berjaya menghalang api dari merebak ke rumah berhampiran.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan," katanya.

0 comments:

share2