Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 9, 2014

BAKAR RUMAH: TIGA LAGI LELAKI DICARI



Johor Bharu - Polis menahan lima lelaki dan mencari tiga lelaki lain dipercayai anggota kumpulan Geng 36 yang terlibat dalam kejadian membakar sebuah rumah dan merosakkan kenderaan di Kulaijaya, Isnin lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kelima-lima lelaki terbabit berumur antara 24 hingga 34 tahun ditahan dalam beberapa serbuan di kawasan Senai dan Kulaijaya antara pukul 7 pagi hingga 2 petang hari yang sama.

"Siasatan mendapati punca kejadian adalah balas dendam kerana mangsa pernah memukul seorang suspek dalam satu majlis sambutan hari lahir di Taman Bintang, Senai sehari sebelum kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebotol petrol, dua bilah parang dan dua buah motosikal.

Siasatan lanjut mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau dan negatif ujian dadah.

Mereka kini sedang ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam, kata Mohd Mokhtar.

Polis kini sedang mencari tiga lelaki iaitu N. Perumal, 35 dengan alamat terakhir di No, 34, Jalan Bunga Kertas 2, Taman Seri Muhibbah; R. Kaliappan, 39 (No.12016, Jalan Cenderawasih 1, Bandar Putra); dan K. Thevarajan, 28 (No. 12454, Jalan Terkukur 7, Bandar Putra), kesemuanya dari Kulaijaya.

Mereka yang mengenali ketiga-tiga lelaki itu boleh menghubungi pengawai penyiasat ASP Mohd Zaki di talian 013-6526999 untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian 3.30 pagi Isnin lalu, seorang pengadu lelaki yang berada di umahnya di Jalan Rajawali, Kulaijaya menerima panggilan daripada jirannya menyatakan rumah lamanya di No. 320, Jalan Sawi 10 Taman Seri, Senai telah terbakar.

Kejadian dikatakan dilakukan sekumpulan tujuh lelaki menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua buah motosikal.

Menurut Mokhtar, pengadu yang pergi ke tempat kejadian mendapati anjung rumah itu dibakar menggunakan bom petrol manakala cermin depan 15 buah kereta milik penduduk di sekitar kawasan itu dipecahkan.

0 comments:

share2