Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 7, 2014

KPN BERI AMARAN




Shah Alam – Polis memberi amaran kepada penyokong PR agar tidak terlibat menganjurkan sebarang demonstrasi jalanan susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sebarang bantahan hanya boleh dibuat di mahkamah bukannya melalui perhimpunan jalanan.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya bertenang menerima keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Saya minta semua pihak tidak cuba mengadakan sebarang perhimpunan atau bantahan.

“Ini adalah proses undang-undang negara, jika mahu lakukan bantahan buat di mahkamah,” katanya kepada media, hari ini.

Menurut beliau, tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan huru-hara sehingga mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Sebarang bantahan jalanan tidak dibenarkan sama sekali. Pihak polis memantau rapi keadaan semasa diseluruh negara.

“Tindakan tegas mengikut lunas undang-undang negara akan dikenakan kepada mereka yang ingkar,” katanya.

Mahkamah Rayuan hari ini menyabitkan Anwar bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan enam tahun lalu.

Bagaimanapun, Anwar dibenarkan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi membebaskan beliau daripada sabitan kes tersebut.

Susulan keputusan itu, penyokong Ketua Pembangkang itu telah membanjiri pekarangan Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Beberapa pemimpin PR, melalui laman media sosial telah mengeluarkan kenyataan yang ingin mengadakan bantahan secara besar-besaran.

0 comments:

share2