Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, November 25, 2012

UMNO Tetap Parti Pilihan Orang Melayu


Janji ditepati" dengan Najib dan kerajaan serta parti yang beliau pimpin memang sangat dekat. Bukan sekadar menepati setiap janji, Najib juga melakukan perubahan dan pembaharuan dengan mencetuskan pelbagai idea kreatif yang tidak terfikir pun sebelum ini.

Bagi beliau, dalam abad ke-21 ini, keunggulan akan dapat diperoleh oleh mana-mana pihak yang dapat memenangi idea. Najib juga telah membuktikan beliau mampu membawa kebangkitan kepada UMNO dan BN walaupun di peringkat awal ada yang menggeleng kepala tidak yakin. Dari tahun ke tahun, kepimpinan beliau semakin menyerlah dan mantap.

Dalam mood perhimpunan agung UMNO yang berlangsung minggu depan dan bahang pilihan raya umum yang semakin dirasai, Najib dalam wawancara itu menegaskan bahawa hanya BN yang boleh menjanjikan masa depan lebih baik untuk rakyat termasuk generasi muda.

Kepada orang Melayu yang sekian lama mengharapkan perpaduan, Najib memberi dua pilihan - penyatuan parti-parti politik mewakili orang Melayu atau tampilkan UMNO sebagai parti terkuat orang Melayu’.

Apa mesej dan harapan Datuk Seri kepada perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2012 memandangkan ia merupakan perhimpunan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

NAJIB: Bukan rahsia lagi ini merupakan perhimpunan terakhir sebelum PRU 13. Oleh itu, perhimpunan agung pada kali ini seharusnya menggambarkan kita sebuah parti yang sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya dalam erti kata sebenar. Sama ada dari segi imej parti, hala tuju, perpaduan dalaman, organisasi sampailah ke peringkat akar umbi seharusnya menampilkan sebuah parti yang sudahpun mantap, mempunyai daya juang dan motivasi yang tinggi untuk memastikan kemenangan besar untuk UMNO dan BN.

Dibandingkan dengan perhimpunan yang lepas, bagaimana Datuk Seri menilai pencapaian UMNO setahun kebelakangan ini termasuk dari segi kekuatan, juga kelemahan?

NAJIB: UMNO sebagai sebuah parti telah dapat meningkatkan persiapan dan kesediaannya untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Kerja-kerja yang telah diarahkan kepada parti telah dapat disempurnakan. Ini sama ada persediaan sampailah peringkat kepada pusat daerah mengundi dan kerja-kerja lain yang patut kita lakukan sebagai sebuah parti. Ia meliputi kursus, penambahan pengundi, memastikan khidmat bakti kita kepada masyarakat terus ditingkatkan lagi dan mengelak daripada permasalahan dalaman yang boleh menggugat imej parti. Saya akui memang bukan semuanya boleh dikatakan ideal atau tidak ada masalah dalaman sama sekali. Tetapi umumnya memang lebih baik hari ini berbanding setahun yang lalu.

Dan, tentu jauh lebih baik daripada gambaran yang kita lihat dalam pakatan pembangkang yang hari ini menampilkan parti yang tidak sehaluan, ikatan yang rapuh dan banyak yang cuba diselindungi mereka selama ini. Hal ini sudahpun terbongkar dan sudah tidak dapat dibendung lagi. Apa yang dilihat sebagai permasalahan dalaman sama ada dari segi perbezaan hala tuju ataupun dari segi perkara pokok seperti siapa patut jadi Perdana Menteri. Mahupun dari segi amalan-amalan dalam parti yang hebat dipertikaikan, pendapat tentang kebebasan menukar agama, pendapat tentang amalan yang tidak selari dengan Islam dan sebagainya. Jadi kalau kita lihat antara dua itu, UMNO dan BN lebih menambah keyakinan manakala parti pembangkang lebih menimbulkan banyak tanda tanya dan kontroversi yang boleh dipertikaikan oleh pengundi.

Adakah perkembangan ini boleh memberi perangsang kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO?

NAJIB: Sama ada ia memberi keuntungan kepada kita ialah sejauh mana kita dapat menyampaikan mesej dan komunikasi kita kepada rakyat. Itu yang perlu. Bila saya sebut komunikasi bukan secara konvensional tetapi juga melalui media alternatif dan sebagainya perlu kita lakukan supaya rakyat benar-benar tahu bahawa pilihan yang terbaik adalah BN.

Datuk Seri tentu akan menggunakan ucapan dasar untuk memberi mesej yang jelas kepada seluruh jentera parti dan rakyat. Boleh Datuk Seri jelaskan?
NAJIB: Ya, ucapan dasar biasanya boleh dianggap sebagai penentu kepada perbahasan yang berlaku dalam perhimpunan sebab jurucakap akan ambil panduan daripada ucapan Presiden. Jadi kandungan dan penegasan yang saya akan buat dalam ucapan itu adalah bagi meletakkan parti kepada satu keadaan yang dapat menggambarkan perkara-perkara yang positif kepada UMNO sama ada dari segi pencapaian selama ini, hala tuju dan keyakinan terhadap kepimpinan UMNO. Di samping itu boleh memberi jawapan dan menyanggah tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh pembangkang kepada kepimpinan UMNO dan BN.

Selesai perhimpunan nanti, para perwakilan akan pulang ke kawasan masing-masing setelah berkampung di PWTC. Kepada mereka ini apakah nasihat yang Datuk Seri mahu berikan?

NAJIB: Saya berharap mereka akan dapat menghayati mesej yang diterapkan dalam perhimpunan tersebut dan dapat menterjemahkan dalam bentuk tindakan serta sikap masing-masing.

Umpamanya, banyak penegasan akan dibuat tentang bagaimana mereka harus mendepani cabaran PRU13 dan bagaimana kita harus meletakkan persediaan kita secara mantap. Bukan sahaja dari segi persiapan secara fizikal seperti bilik gerakan, bantuan material dan sebagainya, tetapi persedian dari segi semangat dan sikap kita untuk meletakkan kemenangan pilihan raya sebagai keutamaan. Tidak ada apa-apa perhitungan yang lain meski pun sesuatu itu memang sangat dihajati oleh kita.

Kita mahu pastikan parti menang, sebab tujuan utama ialah untuk membentuk kerajaan. Dan kerajaan adalah tempat sandaran kita pada masa ini dan masa akan datang. Saya juga berharap mereka lebih masak dan lebih berkemampuan untuk menjawab isu-isu nasional dan tohmahan-tohmahan yang dilemparkan kepada kita. Ahli-ahli parti mesti mampu untuk mengupas dan menjawab serta menangkis sebarang isu nasional.

DISIPLIN DAN PENGKHIANAT

Sejauh mana disiplin dalam UMNO/BN sejak Datuk Seri ambil alih kepimpinan?
NAJIB: Mereka dan beri ikrar dan buat pengakuan. Tun Dr. Mahathir pun bantu jumpa mereka. Sudah angkat tangan sumpah pengakuan. Dalam perhimpunan agung pun dah berikrar. Saya tak upaya lebih daripada itu. Saya dah buat apa yang boleh saya buat. Jadi terserah kepada tubuh badan sendirilah. Kalau mereka langgar sumpah, saya tak tahulah. Itu terserah kepada mereka. Itu antara mereka dengan Tuhan.

Jadi penubuhan jawatankuasa disiplin diharap sedikit sebanyak boleh membantu?
NAJIB: Sepatutnya kita tidak perlu disiplinkan sesiapa. Yang saya nak tekankan adalah mendisiplinkan diri sendiri sehingga kita tidak perlu kepada jawatankuasa. Bila kita tahu tempat itu ada had laju, kita tidak perlu kepada Kamera Sistem Penguatkuasaan (AES) sebenarnya. Tetapi kita terpaksa buat di sesetengah tempat sebab kita mahu didik orang kita. Kalau kita disiplin, kita dapat selamatkan nyawa dan diri kita. Dalam kes ini, maknanya kalau kita ada disiplin diri, parti kita pasti capai kejayaan. Itulah yang patut kita utamakan sebab kalau kita menang kerusi tetapi gagal bentuk kerajaan, apalah gunanya. Maknanya kita jadi pembangkang. Kalau kita terkontang-kanting sebagai pembangkang, apa maknanya. Soal pilihan raya ini yang paling utama kerana kita hendak bentuk kerajaan.

Mengenai tindakan sabotaj, mungkinkah cara menamakan calon lebih awal membantu mengatasi masalah sabotaj ini?

NAJIB: Saya rasa tidak boleh terlalu awal, tidak boleh terlalu lama. Jadi kita akan cari masa yang mungkin kita rasakan paling sesuai. Tetapi kalau kita umum awal pun tidak ada jaminan (sabotaj) tidak akan berlaku. Kalau nawaitu begitu, sampai bila pun dia tak terima juga. Kalau terlalu lewat kita mungkin sukar hendak buat sesuatu memulihkan keadaan. Kalau kita ada masa masih tidak dapat jaminan seratus peratus tak berlaku sabotaj, gunting dalam lipatan, duri dalam daging dan sebagainya. Ini semua kemungkinan yang boleh berlaku dalam pilihan raya. Kalau berlaku pun bukan kali pertama. Dulu-dulu pun berlaku tetapi tak nampak sangat. Bila kita kuat dia tak berapa nampak. Tetapi bila keadaan kita menghadapi tsunami sebelum ini dan hendak pulih daripada tsunami, kita hendak menang dan rampas balik negeri yang kita sudah kalah, itu lebih sukar. Sebab mempertahankan negeri yang kita telah menang itu tidak sesukar mendapatkan balik negeri yang kita telah kalah. Bererti dalam kerangka minda kita itu, kita mesti letakkan kemenangan sebagai satu objektif mutlak yang tidak boleh dipesongkan dengan mana-mana pertimbangan yang lain. Baru kita boleh jamin kemenangan kita.

Kepada pengkhianat parti, apa hukuman paling layak?

NAJIB: Yalah kita hukum macam mana pun, kita pecat daripada parti, dia lari kepada parti lain. Itu dah kita tengok beberapa orang. Tak payah kita pecat pun ada satu dua yang tidak setia pada kita sudah terjun parti lain. Tetapi mujur dalam kalangan parti pakatan pembangkang, lagi ramai masuk sebelah kita. Ada juga beberapa ahli UMNO yang tidak setia kepada kita.

Ada yang berpendapat UMNO sukar uruskan sebahagian ketua bahagian kerana dianggap sebagai warlord. Bagaimana hal ini hendak ditangani?

NAJIB: Itu termasuklah disiplin berorganisasi melibatkan kita semua. Kalau kita tidak terima arahan mengikut chain of command, maknanya kita dah melanggar disiplin dan akibatnya kita boleh kalah dalam perang. Sudah terbukti dalam banyak sejarah. Saya sebut tadi perang Badar, Uhud dan perang lain. Juga peristiwa pilihan raya sebelum ini. Ada kawasan kita patut menang tetapi kita kalah kerana tidak ada disiplin organisasi.

KEBANGKITAN UMNO DAN BN

Keputusan pilihan raya umum 2008 dianggap kejutan. Banyak pihak meramalkan bermula era kejatuhan UMNO. Tetapi dengan kepimpinan Datuk Seri, ada peningkatan pada tahun pertama, kemudian ada peningkatan lebih besar pada tahun kedua dan berikutnya. Seperti ada satu kebangkitan ?

NAJIB: Saya berpegang kepada prinsip bahawa kalau kita telah jatuh kita mesti bangun semula dan kalau kita sudah berjaya kita mesti teruskan kejayaan kita. Jadi apabila saya ambil alih kepimpinan parti dan kerajaan, saya beriltizam untuk membuat apa saja yang termampu supaya kita dapat memulakan proses kebangkitan semula kepada UMNO dan BN. Antaranya, ialah bermula dengan Gagasan 1Malaysia. Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Itu sebagai falsafah induk yang saya praktikkan dalam semua dasar kerajaan. Sebab itu, kalau kita lihat dasar-dasar kita lebih berbentuk inklusif, menegakkan prinsip keadilan sosial dan di samping itu menentukan bahawa kita dapat mengetengahkan idea-idea baharu dan lebih kreatif. Saya amat faham pada abad ke 21 ini, keunggulan akan dapat diperoleh oleh mana-mana pihak yang dapat menenangi pertandingan idea. Orang putih kata contestation of ideas. Sebab itulah banyak program yang kita laksanakan hari ini, tidak terfikir pun sebelum ini. Daripada Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, UTC, RTC, kepada TR1MA, BR1M dan sebagainya. Di samping itu, soal pokok dalam pentadbiran negara yakni kita mesti ada kecekapan dalam pentadbiran negara, tidak boleh kita ketepikan. Maknanya, pengurusan negara kita mesti menjurus kepada ekonomi yang lebih kukuh, merangsang pertumbuhan walaupun Eropah dalam kegawatan dan pemulihan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) masih tidak menentu lagi. Tetapi kita dapat menentukan pertumbuhan yang agak kukuh.

Lebih 5.2 peratus pertumbuhan pada suku ketiga tahun ini dan kita dapat menyediakan lebih 300,000 peluang pekerjaan. Penambahan FDI (pelaburan asing langsung ) meningkat dari RM29.3 bilion pada 2009 kepada RM36.6 bilion pada 2011. Ramai berpendapat pencapaian yang kita perolehi ini bertentangan dengan arus ekonomi dunia. Dengan ini, kita dapat memastikan bahawa kemampuan kerajaan itu dapat diteruskan pada tahap yang tinggi dan keyakinan yang tinggi. Dan, ini berbeza dengan apa yang telah dikemukakan oleh pakatan pembangkang seperti dalam buku jingga dan bajet mereka. Nampaknya pakar-pakar ekonomi tidak memberi penilaian yang tinggi kepada dasar dan program alternatif mereka. Sehingga kalau kita tanya pengurus dana, kewangan dan bank, mereka tidak memberikan respons yang positif . Maknanya mereka sebagai pakar dalam bidang ekonomi melihat Barisan Nasional merupakan kerajaan yang berdaya maju (berbanding pembangkang). Di samping itu kita mesti pastikan kejayaan ekonomi negara dapat mengalir kepada rakyat. Sebab itu, program kita di peringkat makro pun berjaya. Di samping itu kita hendak pastikan bahawa mereka yang memerlukan pertolongan dan bantuan dapat terus dibela.

Dari segi parti, di peringkat awal orang geleng kepala, "Bolehkah Najib bawa kebangkitan kepada BN" tetapi sekarang terbukti BN dan UMNO bertambah mantap. Apa rahsia Datuk Seri?

NAJIB: Saya letakkan ini sebagai satu cabaran kepada saya. Maknanya cabaran dari segi jawatan saya dan secara peribadi. Dalam keadaan krisis, kalau kita boleh anggap ini sebagai satu krisis, kita mesti gunakan segala kekuatan dan kemampuan yang ada pada kita. Hadapi cabaran itu dengan menambahkan lagi usaha, fikiran, kemampuan serta akal hatta kemampuan fizikal supaya kita dapat atasi cabaran tersebut. Itu yang telah saya nyatakan pada diri saya. Saya telah janji pada diri saya untuk melakukan yang terbaik.

Rekod UMNO dan BN serta kerajaan termasuk di bawah kepimpinan Datuk Seri adalah aset penting selain program transformasi untuk rakyat memilih dan memberi mandat yang lebih besar.

NAJIB: Ya, rekod boleh dilihat kita telah lakukan banyak perkara yang memberi manfaat kepada rakyat dan manfaat itu kita beri secara langsung kepada rakyat. Walhal pembangkang tidak ada rekod. Bila kita buat tema, “Janji Ditepati", mereka pertikaikan seolah-oleh mereka terasa pula. Mungkin mereka rasa banyak janji mereka itu tinggal janji saja. Kita tahu, tak payah kita sebut. Tanya orang ramai di Selangor, di negeri-negeri yang sedang mereka perintah, bagaimana pendirian mereka terhadap janji-janji yang dibuat semasa pilihan raya. Ramai akan kata mereka kecewa dengan janji-janji yang tak ditepati dan ditunaikan parti pembangkang.

AGENDA MELAYU

DAN POLITIK BARU

Menyentuh soal menangani politik baharu. Pada satu tahap, Datuk Seri kena memenuhi, mengurus dan menangani tuntutan bukan Melayu. Pada satu tahap, UMNO sebagai parti Melayu juga kena melihat tuntutan dan agenda Melayu. Bagaimana Datuk Seri mengolah cabaran ini?

NAJIB: Saya berpegang prinsip Islam. Tuhan kata kita mesti berlaku adil sebagai pemimpin dan Tuhan tak kata kepada orang Islam sahaja. Tuhan sebut secara umum. Sebab itu kalau kita berlaku adil, orang bukan Islam akan tertarik kepada kepimpinan orang Melayu, Islam. Saya lihat keindahan Islam itu di situ letaknya. Sebab itulah Islam berkembang dari kota Madinah ke seluruh pelosok dunia. Apabila kepimpinan Islam berlaku adil, jadi ramai orang tertarik kepada Islam sebagai satu agama yang begitu indah, begitu mulia. Sebab itulah kita tidak boleh bolot semua sebab orang lain pun menyumbang kepada negara kita. Orang India dengan estetnya, dengan jalan raya yang dibina. Orang Cina dengan keusahawanannya, sumbangan dalam bidang perniagaan untuk negara kita. Mereka juga bayar cukai. Jadi, asalkan kita faham perkara ini dan apa yang kita hendak tolong orang Melayu kita tolong, apa yang kita hendak tolong orang Cina dan India kita tolong secara adil dan saksama. Misalnya kita masih teruskan agenda bumiputera. Sebab kalau negara membangun dan berjaya hatta jadi negara maju tetapi penduduk majoriti terpinggir, tentu ini tidak menyumbang kepada kesejahteraan dan kestabilan kepada negara. Kedua, kalau tidak berlaku adil pada yang lain ini pun tidak dapat tentukan negara terus aman dan stabil. Kena terima hakikat dan realiti. Kena ingat kepada bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak. Orang Asli juga ada hak. Kita sebagai kepimpinan teras juga merupakan sebuah kerajaan yang dapat membela semua kaum, komuniti, besar dan kecil secara adil dan saksama.

Kalau dibandingkan dengan 2008, adakah Datuk Seri nampak angin perubahan dari segi respons positif kaum bukan Melayu?

NAJIB: Ya, mereka suka dengan hala tuju kita tetapi sebarang perubahan akan makan masa. Sebab sebarang usaha untuk mengubah sikap manusia, makan masa. Hatta Tun Dr. Mahathir Mohamad pun lepas 22 tahun mengakui kalau ada pun yang beliau masih belum dapat capai sepenuhnya ialah mengubah sikap orang seperti yang beliau kehendaki. Presiden Obama pun tuntut satu penggal lagi sebagai Presiden. Ini menurut beliau, mustahil untuk melakukan pembetulan apa yang dilakukan semasa zaman George Bush dalam masa empat tahun. Jadi apa yang kita buat ini dari segi transformasi ke arah negara maju berpendapatan tinggi, tidak mungkin dapat kita lakukan dalam masa 3-4 tahun ini. Ia tentu menjangkau masa yang lebih lama lagi.

Datuk Seri, tanpa menafikan kejayaan setakat ini, ada penganalisis percaya bahawa kerajaan masih menghadapi cabaran untuk mendapatkan sokongan besar kaum Cina. Apakah ini satu realiti atau persepsi?

NAJIB: Kita dalam sistem demokrasi terbuka, dalam keadaan di mana persekitaran hari ini sudah berubah dan perubahan ini berdasarkan beberapa faktor. Antaranya, akses kepada pendidikan yang semakin meluas, taraf pendidikan yang semakin meningkat dengan mereka yang tinggal di kawasan bandar tidak perlu lagi kepada kemudahan asas. Jadi, politik pembangunan tidak lagi menjadi perhitungan mereka. Ketiga, kemunculan media sosial yang begitu berpengaruh, yang tidak pernah kita hadapi pada masa-masa lalu. Pada tahun 2008, media sosial baru saja muncul sebagai satu media alternatif. Tetapi hari ini sudah jadi kebiasaan kepada banyak pihak untuk memperoleh maklumat dan apa-apa berita daripada media baharu ini. Dalam keadaan persekitaran yang sudah berubah, inilah dikatakan politik baharu. Kita telah lakukan anjakan dari segi pendekatan kerajaan. Kalau kita tak lakukan anjakan paradigma, kerajaan akan dilihat sebagai kerajaan yang kaku, kerajaan yang cuma boleh berjaya dalam persekitaran yang lama. Tetapi sekarang, kita sudah lakukan perubahan supaya dalam keadaan sekarang ini kita boleh jadi kerajaan yang mendapat sambutan rakyat termasuk daripada kalangan generasi muda. Sebab kita telah mulakan pendekatan kepada generasi baharu. Buktinya dalam pilihan raya kampus baru-baru ini, kita telah menang 18 daripada 20 institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Ini satu kejayaan yang besar. Kalau orang muda tidak sokong kerajaan tak mungkin kita menang. Walaupun saya akui kita mempunyai masalah dengan pengundi Cina, tetapi jangan rasa kita patut ketepikan mereka. Harus tambah dekat untuk mengetahui apakah kehendak dan tuntutan mereka dan bagaimana kita boleh respons kepada kehendak mereka. Saya lihat mereka hari ini pun sedar. Walaupun mereka tidak perlu sangat kepada kerajaan sebab tinggal di kawasan bandar dan segala-galanya sudah ada tetapi mereka juga harus sedar kejayaan mereka sebagai individu dan komuniti disebabkan dasar-dasar kerajaan yang mewujudkan persekitaran memberangsangkan, yang mana mereka boleh mencari peluang perniagaan dan peluang memajukan diri. Kalau lihat masa depan, mereka juga perlukan negara yang ditadbir dan diurus dengan baik. Jadi BN boleh uruskan perkara ini di samping kita buat ubahsuai kepada dasar-dasar kita yang mereka tak puas hati, dan kelemahan-kelemahan yang mereka kata perlu kita perbaiki. Umpamanya kalau mereka bimbang kadar jenayah di bandar. jadi kita sedang respons dengan langkah-langkah yang telah dan akan kita buat. Kita tidak kata kadar jenayah sudah menurun jadi kita tidak perlu buat apa-apa. Tak akan saya terima. Selagi rakyat rasa mereka tidak puas hati, usaha perlu diperhebatkan lagi untuk melenyapkan segala kebimbangan dan kekhuatiran mereka.

Banyak dengar kenyataan dari orang Cina, mereka suka Najib tetapi tidak berapa suka parti. Seolah-oleh perubahan yang berlaku dalam parti masih belum memenuhi apa yang masyarakat Cina mahu.

NAJIB: Dalam sistem sekarang ini, kalau mereka suka saya sebagai Perdana Menteri, mahu tidak mahu mereka perlu beri sokongan kepada parti. Kalau tidak, pihak lain yang akan jadi Perdana Menteri dan bukan saya. Maknanya orang lain yang mereka tak nak jadi Perdana Menteri akan jadi Perdana Menteri. Tonggak dalam sistem kita ialah siapa yang jadi Perdana Menteri. Jadi kalau mahu saya sebagai Perdana Menteri yang boleh bawa transformasi kepada negara sebagaimana yang mereka sudah yakin selama ini maka mereka perlu beri sokongan kepada saya. Sebab Perdana Menteri yang kuat adalah Perdana Menteri yang dapat sokongan rakyat secara menyeluruh.

Perdana Menteri yang boleh bawa lebih banyak kejayaan kepada negara ini daripada Perdana Menteri yang lemah atau tidak dapat mandat sepenuhnya dan boleh dipertikaikan apa jua pembaharuan yang mahu di bawa. Sebab sebarang perubahan itu akan menghadapi banyak cabaran. Kepimpinan tanpa sokongan politik adalah kepimpinan yang tidak ada kekuatan moral. Kalau tidak ada kekuatan moral, dia sukar hendak hadapi cabaran-cabaran untuk bawa perubahan yang besar kepada negara. Jadi kalau mereka tidak suka UMNO atau BN, sekurang-kurangnya kita ini padu, sehaluan, cakap senada. Berbanding pembangkang yang dari segi asasnya, ideologi pun dah bercanggah. Siapa jadi PM pun tak ada seia sekata.

PILIHAN RAYA UMUM KE-13

Ada kritikan yang berpendapat UMNO/BN tidak cukup agresif walaupun berdepan ibu segala pilihan raya terutama dalam melawan pembangkang.

NAJIB: Kita dalam kerajaan, apa pun kita buat ada batasnya. Pembangkang lain, mereka tak ada sempadan termasuk hendak lempar fitnah, beri fakta palsu dan sebagainya. Boleh buat sahaja. Sedangkan kita dalam kerajaan kena ada rasa tanggungjawab dalam apa-apa yang kita mahu lakukan. Itu mungkin menggambarkan seolah-olah kita tak agresif.

Apa yang Datuk Seri mahu ahli UMNO dan BN buat dari sekarang hingga pilihan raya terutama bagi menjamin kemenangan besar?

NAJIB: Pertama sekali, mesti ada disiplin organisasi. Kalau kita nak pergi perang, bala tentera kita mesti tersusun dalam satu ikatan kepimpinan yang mantap dan berdisiplin. Dia tahu apa arahan, pematuhan arahan, lakukan kerja dan sebagainya. ini semua patut kita lakukan.

Pengajaran kemenangan umat Islam dalam perang Badar umpamanya, kekalahan dalam perang Uhud, ini semua pengajaran dalam sejarah yang harus ada pada kita semua. Kalau kita ada disiplin berorganisasi saya percaya itu akan memberi kekuatan untuk kita. Kekuatan yang amat besar, sebab kita ada bilangan tetapi kita mesti sulami dengan kekuatan disiplin organisasi. Kalau kita tidak berdisiplin termasuk tak dapat terima apa-apa keputusan parti dan keputusan calon dan sebagainya yang patut diterima atas kepentingan parti, itu bahaya. Maka itu semua terangkum dalam disiplin berorganisasi yang mesti dijaga.

Semakin banyak usaha dilakukan hendak tunjuk pilihan raya di Malaysia tak adil dan tak telus. Malah ada usaha untuk membawa campur tangan luar. Bagaimana hal ini boleh diurus dan selepas pilihan raya Malaysia boleh terus bergerak ke depan?

NAJIB: Kita pun mahu kemenangan berasaskan pilihan raya yang adil. Kita tak mahu menang kerana penipuan. Selama ini pun apabila (pembangkang) menang di lima negeri bukan main seronok. Tak ada pun pertikai keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Anwar Ibrahim dalam UMNO/BN pun tak pernah pertikai SPR. Sekarang timbul seolah-olah mereka mahu sediakan minda rakyat bahawa kalau BN menang, ia menang kerana penipuan. Ini menafikan amalan demokrasi negara kita yang selama ini berjalan dengan baik. Kita pun kali ini bersedia dengan membawa beberapa pemerhati ASEAN untuk pantau pilihan raya ini supaya mereka akan lihat ia berjalan ikut perlembagaan dan undang-undang negara. Kesahihan keputusan rakyat tak boleh dipertikaikan.

Atau mereka tak yakin boleh menang?

NAJIB: Sebab tu saya kata dia menyediakan minda, pre-emptive. Ada juga orang kata bahwa kalau dia tak memang, dia nak tunjuk perasaan. Juga nak tunjuk pilihan raya kita tak telus dan tak adil. Segala-galanya boleh berlaku sebab mereka sangat obses, mabuk nak menguasai Putrajaya. Kerajaan Australia pun tolak permintaan mereka.

Kerajaan telah melakukan langkah-langkah afirmatif untuk membantu bumiputera, mungkinkah ini akan dilakukan oleh pakatan pembangkang jika ditakdirkan mereka memerintah nanti?

NAJIB: Kita tak tahu apa dasar yang akan mereka amalkan sebenarnya. Dalam pakatan ada yang mahu asas perlembagaan kita dipinda. DAP dengan Malaysian Malaysia, ideologi yang tak terima prinsip dan semangat perlembagaan. Ada Pas yang mahu wujudkan negara Islam ikut tafsiran mereka. Itu pun jadi tanda tanya kerana definisi negara Islam masih kabur lagi. Ada PKR yang perjuangkan pendirian yang boleh disangsikan termasuk kefahaman terlalu liberal, pluralisme yang juga boleh menimbulkan banyak kontroversi. Jadi bentuk dan hala tuju pakatan pembangkang masih samar-samar dan tidak menentu. Siapa yang akan jadi kuasa dominan pun belum tentu. Dalam BN kita boleh jamin dasar kita konsisten. Apa pun akan berlaku, kita ada jaminan bahawa hala tuju dan dasar yang telah dibentang kepada rakyat dapat kita teruskan. Tetapi pembangkang penuh risiko, tanda tanya dan kesangsian. Sama ada kita sanggup memperjudikan masa depan kita, itu persoalan pokok.

Pilihan raya tahun depan atau biar Parlimen bubar sendiri?

NAJIB: Kalau bulan Disember tak ada pilihan raya, tahun depanlah. Melainkan kita buat Disember ini, Tetapi (mungkin musim) hujan... boleh naik sampan, bot, kalau banjir.

SOKONGAN ORANG MUDA

Apa lagi cara untuk menarik orang muda menyertai atau terlibat dengan UMNO kerana masih ada rungutan tentang birokrasi dalam parti?

NAJIB: Kita dah buat banyak program dan agenda yang boleh memikat orang Melayu dan orang muda untuk menyokong UMNO dan BN. Kalau orang muda bersikap anti-establishment, meskikah kita boleh menangi 18 daripada 20 perwakilan pilihan raya kampus baru-baru ini. Kita juga telah buat Himpunan Hari Belia Putrajaya secara besar-besaran dan kita sedang buat banyak perkara termasuk perhubungan melalui media sosial. Saya seorang yang sangat aktif dalam media sosial dan followers Twitter saya telah melebihi 1 juta dan di Facebook telah melebihi 1.3 juta. Ini menunjukkan orang muda bersama-sama dan memang boleh tertarik untuk menyokong kita, dengan syarat kita guna wahana dan cara berkomunikasi dan engagement yang sesuai dengan selera orang muda.

Saya tak dapat nafikan kadang-kadang kemasukan mereka dalam UMNO dan kemaraan mereka mencari tempat dalam UMNO boleh menghadapi banyak rintangan. Tetapi kita sedang memperbaiki keadaan ini seperti memberi peluang kepada mereka memohon secara langsung kepada ibu pejabat sekiranya permohonan mereka tidak dilayan oleh peringkat cawangan atau bahagian. Dalam Bajet 2013, saya telah beri banyak tumpuan dan fokus kepada orang muda. Umpamanya bantuan-bantuan kita sekarang ini lebih inklusif seperti bantuan untuk orang-orang bujang di bawah BR1M dan rebat telefon bimbit (pintar) dan banyak lagi yang diberikan untuk orang-orang muda di bawah bajet kita.

Sokongan golongan muda. Adakah dapat dilihat juga penglibatan dalam UMNO melalui sayap Pemuda dan Puteri?

NAJIB: Kita gambarkan parti kita sebagai parti yang bersedia untuk membawa perubahan kepada negara. Bukan parti yang kaku, terlalu konservatif sebab orang muda nak perubahan dan suka pembaharuan. Jadi kita mesti tampilkan parti yang mampu membawa pembaharuan kepada negara. Sebab itu orang muda hari ini tak anggap mereka patut tolak UMNO dan BN walaupun kita dah berkuasa secara berterusan. Sekurang-kurangnya mereka lihat kita ini parti yang boleh bawa perubahan dan kemajuan dalam negara. Paling penting masa depan mereka lebih terjamin di bawah kepimpinan UMNO dan BN. Itu yang paling besar perhitungannya, masa depan kita. Kita tahu sebagai sebuah parti kita tak boleh bergantung kepada kejayaan-kejayaan kita selama ini. Sebagai orang muda kebanyakan mereka lahir pasca merdeka. Dia tak tahu cerita lama, dia baca dalam buku sejarah saja. Jadi sehebat mana kejayaan kita dulu, kepada orang muda ini tak termasuk dalam buku mereka. Yang mereka mahu tengok masa ini dan akan datang. Sebab tu saya sebut kita mesti tampilkan UMNO dan BN sebagai parti yang boleh jamin masa depan negara kita.

Apa rancangan masa depan?

NAJIB: Kita dah tahu apa kita buat selama ni. Dalam masa empat tahun ini kita lihat apa kejayaan kita. Dengan izin Allah kalau dapat mandat kuat tentu kita akan buat dengan lebih hebat lagi, lebih gah. Insya-Allah, sebab kita ada kekuatan moral. Sebab kalau kita kaji teori prinsip kepimpinan, ia berpunca dari dua. Satu formal, jawatan kita. Satu lagi kekuatan moral. Jadi kalau kita gabungkan kedua-duanya tentu kepimpinan kita akan lebih berkesan lagi.

PERPADUAN MELAYU

DAN ISLAM

Datuk Seri masih percaya bahawa orang Melayu boleh disatukan? Dalam suasana global dengan pemikiran orang yang semakin terbuka seperti sekarang, apakah caranya?

NAJIB: Kita ada dua pilihan. Satu ialah penyatuan parti-parti politik yang mewakili orang Melayu atau kita boleh tampilkan UMNO sebagai pilihan majoriti besar orang Melayu. Sebab dalam sistem kita, kemenangan terletak pada pihak yang dapat suara yang lebih. Jadi bagaimana kita mencapai suara yang lebih? Tidak lain dan tidak bukan ialah melalui keyakinan rakyat terhadap kemampuan kita membela agenda yang dekat di hati orang Melayu. Dan saya yakin dan percaya pilihan utama pada orang Melayu ialah parti UMNO.

Orang lain menggunakan kaum dan agama sebagai asas penyatuan. Tetapi orang Melayu bersikap sebaliknya, mengapa?

NAJIB: Orang Melayu telah dikelirukan dengan hasutan dan fitnah yang bertalu-talu terhadap pemimpin UMNO dan UMNO itu sendiri, walaupun dakyah-dakyah tersebut merupakan serangan politik dan tidak ada asasnya. Kerana juga terpedaya dengan imej luaran seperti label parti yang dikatakan parti Islam dan rupa pemimpin yang mereka anggap lebih Islamik. Sepatutnya kita nilailah dari segi pengisian dan agenda yang boleh meninggikan perjuangan dan syiar Islam dan UMNO telah membuktikan parti ini dapat memperjuangkan tuntutan Islam berdasarkan Maqasid Syariah. Sejak dulu lagi kita perjuangkan Islam, bermula dengan Perlembagaan, pembentukan institusi-institusi Islam serta program-program Islam yang kita telah wujudkan dan martabatkan, seperti perbankan Islam.

Sejak beberapa tahun ini Raja-raja Melayu telah bertitah melahirkan kebimbangan mengenai perpaduan orang Melayu dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Datuk Seri berkongsi kebimbangan ini?

NAJIB: Memang kita semua bimbang atas perpecahan dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu. Kita harap orang Melayu akan memberi sokongan kepada UMNO dalam pilihan raya sebagai parti utama. Kalau kita dapat memperlihatkan UMNO sebagai pilihan utama, UMNO akan muncul sebagai parti yang terkuat dan dengan sendirinya (terbentuk) perpaduan Melayu Islam. Bererti perpaduan di bawah naungan UMNO sebagai parti utama. Tetapi kita tidaklah sampai mendoakan kehancuran Pas.

Perpaduan Melayu selalu dikaitkan dengan ancaman kepada kaum lain. Bagaimana untuk menjelaskan hal ini?

NAJIB: Perpaduan Melayu bukan bererti kita menentang kaum lain sebab saya telah kata tadi kita mesti bawa kaum lain bersama kita. Semangat ini kita telah semaikan sejak dulu lagi dari zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak. Kenapa kita mahu ketepikan apa yang telah diasaskan oleh pemimpin-pemimpin dan pengasas kita? Kalau kita tidak komited kepada kerjasama kaum lain Tunku takkan buat Perikatan, Tun Razak takkan buat BN tetapi mereka buat sebab kita tahu kekuatan negara kita mesti berpaksi kepada kerjasama antara kaum. Itu kita mesti pegang.

Pembangkang kata UMNO rasis bila cakap pasal perpaduan Melayu ?

NAJIB: Itu dia tuduh. Kita tak rasis daripada dulu lagi. Cuma ada beberapa tindakan yang boleh timbulkan persepsi sedemikian. Patut kita betulkan dan kita akan lakukan. Saya lihat bila kita buat Gagasan 1Malaysia orang lebih faham bahawa negara kita ini negara di mana semua kaum mesti dapat manfaat daripada kepimpinan negara.

Pada muktamar Pas ada doa mahu hancurkan BN dan UMNO. Bagaimana parti harus memberi reaksi terhadap sikap Pas ini?

NAJIB: Pas kena cuba menggambarkan ia sebagai sebuah parti Islam. Tetapi sama ada perbuatan itu adalah benar-benar menepati prinsip dan syariah Islam atau sebaliknya ia merupakan sebuah parti politik yang berselindung di sebalik imej Islam. Itu yang harus dibincang oleh UMNO dan kalau dapat kita ketengahkan hujah-hujah yang bernas, maka kita boleh muncul sebagai parti yang utama dalam kalangan orang Melayu.

Datuk Seri berasa kecil hati dengan doa itu?

NAJIB: Tak, buat apa nak kecil hati. Kita dah jangka macam-macam. Dulu dia panggil Dr. Mahathir, Firaun. Itu biasa, saya tidur malam jendera (lena).

Pas dalam kempen dan ceramah kebelakangan ini sebut bahawa Pas sebagai alternatif kepada UMNO.

NAJIB: Itu dia punya politiklah. Dia bukan soal agama, yang dia pentingkan dia nak sangat kuasa. Itu dalam kepala dia. Politik nombor satu. Sepatutnya dia letak ketinggian agama lebih daripada segala-galanya. Kalau kata dia parti Islam maknanya tak ada yang lebih penting sebaliknya kita tengok perhimpunan politik dia lebih dari agama. Sebab tu dia berkawan dengan DAP.

1 comments:

  • AntiHipokrit says:
    November 25, 2012 at 9:46 PM

    Blah lah Najib. Aku sebagai org Melayu dan ahli UMNO tak pernah bersetuju dgn dasar liberal musibat ni. Asyik nak tatang cina je.

share2