Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 19, 2019

RAKYAT MANGSA KEPADA MANUPULASI EKONOMI







MANIPULASI ialah senjata paling ampuh dalam politik bagi mempengaruhi dan menguasai pola fikir rakyat bagi tujuan menjatuhkan sesebuah kerajaan. Manakala manipulasi ekonomi menjadi taruhan bagi meningkatkan kepercayaan rakyat kepada tadbir urus negara.

Kestabilan ekonomi merupakan elemen terpenting bagi sesebuah kerajaan dan negara. Kerajaan yang stabil merupakan kerajaan yang merajai ekonomi dan merakyat ke seluruh negara. Oleh sebab itu agenda memperkasakan ekonomi negara selayaknya menjadi keutamaan kerajaan hari ini.




Risiko kepada ketidakstabilan ekonomi telah berlaku sejak Mei 2018 apabila kerajaan mengorkestra dan memanipulasikan fakta ekonomi kononnya hutang negara berjumlah RM 1 Trilion dan Dana Tabung Harapan Malaysia (THM) dilancarkan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Walaupun sudah melebihi 400 hari menjadi kerajaan, keadaan ekonomi negara masih berada dalam kesamaran malah kerajaan berterusan menuding jari kepada kerajaan terdahulu kononnya menjadi punca kelembapan dan ketidakstabilan ekonomi negara kini.

Rakyat memerhati dan menilai apakah kerajaan hari ini “cakap tak serupa bikin” atau sebaliknya. Slogan ‘Selamatkan Malaysia’ yang dilaungkan selama ini semakin pudar sinarnya.

Kehidupan rakyat khususnya B40 semakin terhimpit, subsidi dan bantuan kewangan kepada petani dan nelayan dipotong. Ribuan pekerja kontrak diberhentikan, saiz kakitangan awam ingin dikurangkan dan kadar pengangguran golongan muda pada kadar 10.8 peratus, lebih tinggi berbanding Thailand (5.9 peratus) dan Vietnam (7.9 peratus).

Ranking terkini yang diterbitkan oleh badan analisis indeks Islamicity Foundation menunjukkan bahawa negara kita telah jatuh merudum bagi empat indeks berbeza. Keempat-empat indeks tersebut ialah Indeks ‘Economy’, Indeks ‘Political Rights’, Indeks ‘International Relations’, serta kedudukan keseluruhan kita dalam ‘Islamic Index’ berbanding 152 negara lain di dunia. Berbanding tahun 2017, indeks ekonomi kita jatuh sebanyak tujuh anak tangga iaitu dari tangga ke-24 (2017) ke tangga ke-31.




Bloomberg melaporkan prestasi pasaran saham Malaysia tahun ini antara terburuk di dunia dengan modal pasaran Bursa Malaysia susut RM157 bilion sejak PRU-14 manakala penanda aras pasaran FBM KLCI ditutup pada 1,629 mata berbanding 1,846 mata sebelum 9 Mei 2018.

Paling membimbangkan pengumuman kerajaan untuk menjual aset-aset penting negara bagi mengurangkan hutang negara. Menurut pensyarah Sains Politik UKM, Abdul Muein Abadi “Risiko dan masalah yang bakal dihadapi oleh kerajaan contohnya perangkap geopolitik jika bertindak menjual aset negara dengan terlalu banyak dalam masa yang terlalu cepat, perangkap kuasa lunak (soft power) dan kuasa penembusan asing (sharp power)”.

Apakah yang rakyat dapat daripada penjualan aset-aset strategi tersebut khususnya aset yang berkaitan dengan orang Melayu dan Bumiputera yang dikenali sebagai ‘trust agencies’ atau agensi amanah? Rancangan kerajaan hendak menjual aset Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) adalah tindakan yang menodai kepentingan dan amanah bagi menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera. Aset tersebut ialah hasil daripada manfaat ekonomi yang dilakukan semasa pemerintahan kerajaan BN untuk meningkatkan ekonomi negara dan rakyat.

Lakaran sejarah memperlihatkan Nabi Yusuf a.s yang membawa misi islahi menyelamatkan ekonomi Mesir adalah ikon dan watak yang perlu diteladani. Firman Allah SWT yang bermaksud, berkata Yusuf “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya dan mengetahui cara mentadbirkannya” (Surah Yusuf 12:55)

Watak penting yang dimiliki oleh Nabi Yusuf a.s dalam menguruskan kemelut ekonomi Mesir ialah HAFIZ dan ALIM (Kejujuran dalam melaksanakan amanah dan berpengetahuan serta berkemahiran berkaitan pengurusan ekonomi)

Pendekatan yang ditekankan oleh Nabi Yusuf a.s dengan gesaan “apabila datang musim menuai, jangan semua hasil yang dituai untuk dijadikan makanan, sebaliknya perlu ada yang disimpan untuk digunakan pada jangka masa panjang, selain untuk dijadikan benih”. Membelanja, menyimpan serta melabur menjadi pendekatan Nabi Yusuf a.s bagi memperkukuhkan ekonomi Mesir bukannya dengan cara menjual aset negara.

Saya berpandangan, kesalingan kerajaan, pembangkang dan rakyat mampu memulihkan ekonomi negara sehingga Malaysia dikenali sebagai ‘Asian Tiger’, dengan syarat kerajaan menjadikan tanggungjawab memulihkan ekonomi negara satu keutamaan. Bukan meletakkan kegagalan mereka menguruskan ekonomi dengan baik ke bahu pembangkang dan rakyat.

Rakyat sudah muak dengan kenyataan yang tidak konsisten dan berdolak-dalih kerajaan dalam pengurusan ekonomi negara. Peningkatan harga barang dan nilai ringgit semakin menyusut, pengangguran golongan muda menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan permasalahan sosial.

Memahami denyut nadi golongan muda berhadapan dengan kesukaran dan kemelut kewangan. UMNO akan memperkenalkan dan menjadikan kesukarelawan ekonomi sebagai model “people economy”,yang berorientasikan rakyat dan orang muda bagi menambah pendapatan. Landskap kesukarelawan bukan sahaja berbentuk kebajikan dan aktiviti semata-mata tetapi mampu menjadi sumber pendapatan.

Manfaatkan kedudukan negara di Laut China Selatan yang cukup strategik untuk meningkatkan dan memulihkan ekonomi negara melalui hubungan dagang berskala besar dan menarik kembali pelabur-pelabur luar negara. Penjualan aset strategi negara merupakan langkah kebelakang dan merugikan rakyat, jangan jadikan rakyat sebagai mangsa akibat keghairahan memanipulasikan fakta ekonomi. Ambil peduli amaran Rasulullah SAW yang bermaksud “Jika sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kehancuran”.
(HR Bukhari)

AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah
#akhiratdidepan


0 comments:

share2