Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 13, 2018

TANYA NIAT DIRI SEBELUM KRITIK, HUKUM TH





ALHAMDULILLAH, Tabung Haji (TH) telah mengisytiharkan hibah bernilai RM2.88 bilion bagi 2017 untuk dikongsi dengan semua pendeposit yang layak.

Walaupun tidak terikat dengan pulangan simpanan ini mengikut Sekyen 22 (1) & (2) Akta Tabung Haji 1995, TH terus konsisten berkongsi laba hasil perniagaan kepada semua pendeposit.

Yang penting, TH terus menerajui institusi haji dan kewangan Islam sehingga mengharumkan negara di persada antarabangsa.

Saya rasa terpanggil untuk menulis isu hibah TH atau dulunya dirujuk sebagai dividen dan bonus.

Hampir setiap tahun, ada dalam kalangan kita tidak berpuas hati dengan dividen TH, ada yang berhujah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus lebih tinggi daripada dividen 4.5 peratus TH.

Menghukum TH adalah tidak adil, ada juga yang minta kawan keluarkan duit dari TH dan melabur ke tempat lain serta memberi pelbagai hujah lain bagi melahirkan rasa tidak puas hati dengan hibah atau dividen TH.

Kita mulakan diskusi ini dengan bertanya diri sendiri. Apa tujuan kita membuka akaun TH? (Rujuk buku Haji Muda, Ridzwan Bakar, 2008)

Arwah abah saya banyak mengajar saya erti hidup. Walaupun bekerja sebagai buruh dengan pendapatan 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang', arwah masih mampu mengajar anak erti hidup.

Berbekalkan gaji bulanan RM385 sebulan, kami dibesarkan dengan kasih sayang dan berjimat. Tiada elemen kemewahan dan tidak dengar rungutan abang dan kakak mengenai kesempitan hidup, rumah tiada elektrik dan tiada hiburan seperti televisyen.

Pada usia saya di sekolah rendah awal 1980-an, arwah abah sudah membuka akaun TH untuk saya, abang dan kakak. Walaupun duit tidaklah banyak, semangat beliau mendidik perlu dijadikan ukuran.

Niat beliau hanya satu, mahu kami menabung untuk menunaikan Rukun Islam kelima, iaitu ibadat haji.

Sepanjang membesar dengan didikan arwah, tidak pernah saya melihat beliau bersungguh-sungguh melihat dan komen mengenai dividen serta bonus TH. Beliau bersyukur jika ada dividen, jika tiada beliau tidak pula merungut atau memberi komen.

Fikiran beliau sangat jelas, iaitu menunaikan haji. Mungkin ilmu dan pendedahan pengurusan kewangan agak terhad ketika itu, maka jarang terdengar rungutan terhadap kadar dividen dan bonus TH yang sangat kecil (di bawah paras dan kadar inflasi jika mengikut istilah 'golongan pakar di kedai kopi dan restoran mamak').

Pada zaman ini pula, terlalu banyak pendedahan hingga hakikat niat dan ilmu kurang menjadi sandaran. Sedar atau tidak, kini niat kita lebih fokus kepada pulangan pelaburan.

Kadar dividen 4.5 peratus dianggap rendah, kita menuntut lebih daripada itu. Lebih tidak adil apabila kita menghukum TH kerana beranggapan organisasi berkenaan tidak amanah dan tidak pandai melabur.

Niat sebenarnya mempengaruhi fikiran dan tindakan. Bila niat difokuskan kepada haji, dividen bukanlah ukuran, rezeki Allah yang uruskan.

Bila niat difokuskan kepada pulangan pelaburan, sudah tentu dividen dan bonus menjadi ukuran penting, tidak puas dengan apa yang diperoleh.


Fahami kontrak akaun TH

Saya yakin, bila kita buka akaun simpanan TH, kita sudah dimaklumkan berkaitan akad dan kontrak, bersetuju dengan menandatangani atau menurunkan cap ibu jari pada buku simpanan.

Maksudnya, kita sudah bersetuju dengan kontrak dan kaedah terma dan syarat pengurusan akaun simpanan kita.

Namun, apakah kita faham maksud 'Wadiah Yad Dhamanah' yang dinyatakan dalam akad serta buku simpanan TH?

Sudah dinyatakan dengan jelas bahawa pendeposit tidak berhak kepada apa-apa keuntungan daripada simpanan mereka, tetapi diberi jaminan keselamatan wang simpanan.

Jadi apa permasalahannya? Isunya apabila kita tidak memahami atau kurang mahu belajar istilah kontrak dalam kewangan Islam.

Hibah TH adalah 'hadiah' yang diisytihar oleh TH berdasarkan konsep 'Wadiah Yad Dhamanah', iaitu mengikut kemampuan kewangan TH pada tahun semasa. TH tidak terikat untuk mengisytihar dan memberi hibah kepada pendeposit.

Walaupun amalan pemberian hibah dibenarkan, ia tidak boleh dijadikan amalan tetap bagi mengelakkan amalan itu dikira sebagai 'urf' (kebiasaan) yang menyerupai syarat dalam kontrak deposit berasaskan wadiah.

Mensyaratkan pulangan dalam bentuk hibah terhadap simpanan wadiah boleh menjerumuskan akad terbabit ke dalam riba yang diharamkan syarak dan pulangan itu menjadi sesuatu yang tidak bersih.

Pemberian dan cara hibah TH dilakukan adalah seperti yang termaktub dalam Akta Tabung Haji 1995, Sekyen 22 (1) & (2), iaitu;

Seksyen 22 (1); Tertakluk kepada seksyen ini, lembaga boleh mengikut budi bicara mutlaknya menentukan pada bila-bila masa, sama ada wajar untuk mengisytiharkan suatu jumlah wang sebagai untung boleh agih berkenaan dengan apa-apa tempoh atau tahun tertentu kumpulan wang dan jika ia menentukan untuk mengisytiharkan sedemikian, lembaga hendaklah dengan kelulusan menteri, mengisytiharkan suatu jumlah wang sebagai untung boleh diagihkan berkenaan dengan apa-apa tempoh atau tahun tertentu kumpulan wang itu.

Seksyen 22 (2); Jika suatu perisytiharan dibuat mengikut subseksyen (1), lembaga hendaklah juga menentukan cara, amaun dan masa bagi mengkreditkan untung boleh agih itu kepada setiap pendeposit.

Tidak menjadi kesalahan untuk kita menuntut pulangan hasil pelaburan yang lebih tinggi.

Kita perlu memahami dalam ilmu pelaburan, simpanan di TH bukanlah dikategorikan sebagai pelaburan. Kita terikat dengan akad 'Wadiah Yad Dhamanah' (simpanan dengan jaminan).

Adalah penting masyarakat kita belajar dan memahami beberapa asas dan istilah dalam kewangan Islam bagi membantu membuat keputusan terbaik dalam kehidupan.

Simpanlah duit di TH untuk niat mencukupkan wang bagi menunaikan haji. Jika ada rezeki, dapat hibah lebih daripada kadar inflasi, boleh pergi haji pada usia muda.

Bersyukur dengan apa yang ada lebih baik daripada merungut kepada perkara yang bukan milik kita. Tahniah TH!


0 comments:

share2