Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 13, 2018

[PEKAN] SUSPEK WANITA DUA TAHUN LALU DIBERKAS


PDRM



Polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki menipu seorang wanita menggunakan akaun palsu di laman sosial Facebook sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM27,800, dua tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek yang berusia 25 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan kira-kira jam 2 petang semalam.

Katanya, lelaki berkenaan berjaya ditahan selepas diminta oleh pihak polis untuk hadir ke balai polis bagi tujuan membantu siasatan berkaitan satu kes tertentu.

"Berdasarkan siasatan, suspek dan mangsa yang berusia sekitar 45 tahun itu bekerja dalam sektor cari gali dan telah berkenalan sekitar Februari 2016.

"Pada awalnya, suspek dipercayai telah menyamar sebagai seorang wanita yang menetap di United Kingdom dan berhasrat untuk pulang ke Malaysia.

"Pihak polis difahamkan, suspek telah meminta bantuan mangsa untuk membeli rumah dan kenderaan bagi kegunaan beliau setelah pulang ke tanah air nanti," katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Dalam pada itu, menurutnya, dalam tempoh penipuan itu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu mendakwa dari syarikat penghantaran dan meminta membuat pembayaran atas alasan bungkusan kepadanya melebihi berat.

"Terdahulu, suspek ada memberitahu mangsa bahawa ada menghantar bungkusan berisi wang 120,000 Pound Sterling bersama kamera, jam tangan, telefon bimbit dan lain-lain sebagai hadiah kerana telah membantunya.

"Dengan itu, mangsa mendakwa telah membuat tiga pembayaran untuk mendapatkan barangan tersebut ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek sebanyak RM27,800 di sebuah bank di Jerantut.

"Bagaimanapun selang beberapa hari mangsa masih tidak menerima sebarang bungkusan walaupun bayaran telah dibuat," katanya.

Sementara itu, katanya, setelah sedar bahawa ditipu kerana tiada sebarang perkembangan daripada suspek, mangsa segera membuat laporan polis.

"Siasatan dijalankan dmengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan," katanya.


0 comments:

share2