Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 19, 2018

[KUANTAN] JPV BANTU USAHA TERNAKAN PUYUH



Dr Norlizan



Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang akan membantu penternak yang berminat menternak puyuh bagi membantu mereka menjana pendapatan baharu.

Pengarahnya, Dato' Dr Norlizan Mohd Noor berkata, bantuan diberikan itu bertujuan untuk menambah sumber pendapatan masyarakat luar bandar yang berminat terhadap bidang penternakan.

Menurutnya, usaha menjadikan negeri ini sebagai pengeluar utama puyuh kini dilakukan dengan melantik seorang penternak yang akan membuka ladang ternakan di Kampung Mahkota.

“Jabatan menyediakan bantuan dan kawasan dengan perjanjian apabila projek puyuh itu berjaya pengusaha terbabit perlu menyediakan latihan kepada golongan belia dan ibu tunggal yang berminat.

“Saya yakin menerusi perjanjian itu lebih ramai penternak puyuh akan muncul di negeri ini, menternak puyuh tidak memerlukan modal besar dan boleh diusahakan di kawasan rumah,” katanya.

Norlizan berkata, projek perintis itu akan menjadi permulaan untuk melahirkan lebih ramai penternak puyuh di negeri ini.

Katanya, bimbingan dan bantuan akan diberikan secara berterusan terutama dari segi pemantauan dari segi penyakit dan sebagainya.

“Apabila projek ini berjaya, ia akan menjadi tempat untuk penternak yang baru untuk mendapatkan kursus dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, JPV memberi bantuan anak itik pedaging jenis maskobi secara berperingkat kepada masyarakat luar bandar di semua daerah di negeri ini.

“Jabatan sedia memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada individu yang berminat menceburi bidang ternakan itik termasuk binatang lain.

“Program bantuan anak itik akan terus dilakukan JPV secara berperingkat kerana bekalan anak itik yang terhad oleh ladang pembiakan itik Ijok, Selangor, ”katanya.


0 comments:

share2