Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 14, 2018

[KUANTAN] HILANG BAPA, GURU DALAM POLITIK



Hilang bapa, guru dalam politik



Selepas 43 hari pemergian Adun Lepar, Datuk Mohd Shohaimi Jusoh pada 31 Disember lalu, kini Umno Bahagian Paya Besar kehilangan Ahli Parlimennya, Dato' Sri Abdul Manan Ismail, 70, yang disahkan meninggal dunia pada jam 6.45 petang kelmarin di rumahnya di Kuala Lumpur.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah, pemergian allahyarham Abdul Manan ibarat kehilangan bapa dan guru dalam politik.

Menurutnya, arwah adalah individu yang bertanggungjawab membawanya ke dalam dunia politik pada 2013 selepas melihat kesungguhannya membuat perubahan dalam kawasan Paya Besar.

“Arwah adalah individu yang banyak memberi sokongan selain mengajar dan membimbing saya dalam dunia politik sehinggalah saya menjadi Ketua Pemuda Umno Pahang.

“Malah banyak peluang diberikan kepada anak muda untuk terlibat dalam kepimpinan bahagian selain tidak lokek memberi peruntukkan untuk pelaksanaan program di kawasan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Shahar berkata, dia cukup terkesan dengan pemergian arwah dan menganggap pemimpin berjiwa rakyat itu sukar ditukar ganti.

Katanya, kepimpinan Pemuda Umno Bahagian khususnya akan meneruskan hasrat arwah yang mahu melihat perubahan di kawasan Paya Besar.

Sementara itu, bagi Ketua Penerangan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Pahang, Mohd Asrullah Affendi Abdullah menyifatkan pemergiannya arwah amat dirasai warga Felda.

Katanya, arwah banyak membantu belia felda di Paya Besar dan sentiasa menyokong program yang dilaksanakan.

“Arwah bukan sahaja mengambil berat kebajikan warga Felda tetapi secara keseluruhannya di kawasan Paya Besar,”katanya.

Allahyarham yang juga Ketua Umno Bahagian Paya Besar dan menyandang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) selain memegang jawatan Pengerusi Yayasan Felda.

Sebelum bertanding di kerusi Parlimen, Allahyarham merupakan Adun Panching.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Khas kepada Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Abdul Razak dari 1986 hingga 2004.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin' Sri Rohizah Ahmad , enam anak dan 12 cucu.


0 comments:

share2