Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 14, 2018

[KUANTAN] AMBIL KESEMPATAN KUTIP DERMA TANPA PENGETAHUAN


Ambil kesempatan kutip derma tanpa pengetahuan



Maahad Tahfiz Darul Hafidz (Madah) Indera Sempurna di sini terkilan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan meletakkan tabung derma menggunakan nama maahad tahfiz itu di sebuah masjid di Batu 9.

Pengasas Madah, Abdul Hadie Shamsudin, 30,berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan seorang ustaz mengenai perkara itu minggu lalu.

Menurutnya, ustaz tersebut ke masjid berkenaan untuk meletakkan tabung Kafa namun di beritahu sudah ada sebuah maahad dari Indera Sempurna yang turut meletak tabung di masjid itu.

“Saya terkejut kerana kami hanya meletakkan tabung di masjid di Indera Sempurna selepas berpindah ke sini pada Oktober lalu.

“Saya dihubungi wakil masjid berkenaan supaya datang mengambil tabung derma berkenaan,”katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.



Abdul Hadie bersama pelajar Maahad Tahfiz Darul Hafidz yang terletak di Indera Sempurna.


Abdul Hadie berkata, dia ke masjid itu dan melihat tabung derma yang dimaksudkan.

Katanya, dia cukup kesal apabila tabung berkenaan turut tertera dua nombor telefon bekas pengajar tahfiz itu.

“Saya dimaklumkan pihak masjid ada menghubungi nombor telefon itu namun pemiliknya menafikan terlibat dengan kegiatan terbabit.

“Saya tak sangka ada pihak yang mengambil kesempatan sebegitu dan ini secara tidak langsung menjejaskan imej maahad yang sememangnya memerlukan dana,”katanya.

Katanya, pihak masjid turut memberitahu tabung berkenaan sudah berada di masjid itu sejak beberapa bulan lalu dan ada individu yang akan datang mengambil wang seminggu sekali.

Jelasnya, dia cukup bimbang kegiatan itu akan memberi kesan kepada Madah untuk mendapat sebarang bantuan.

“Saya menguruskan maahad ini sejak 2015 dan tahu prosedur mendapatkan bantuan melalui pihak berwajib.

“Kita perlu mendapat kelulusan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sebelum mengutip derma,”katanya.

Abdul Hadie berkata, pihaknya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat kerana bimbang kegiatan itu menjejaskan nama baik maahad itu.

Katanya, Madah kini mempunyai 49 pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun yang tinggal di kediaman yang disewa.

“Jika diikutkan banyak kekurangan yang perlu ditambah untuk keselesaan pelajar namun kekangan kewangan membuatkan kita tidak mampu menyediakan fasiliti yang lebih baik,”katanya.

Abdul Hadie juga sedih apabila usaha membangunkan maahad itu berdepan pelbagai dugaan termasuk individu yang menipu wang kutipan dana selepas mendapat tapak untuk membina maahad itu secara kekal di Taman Guru.

Katanya, selepas insiden itu, dia terpaksa membatalkan perancangan membina maahad di tapak yang diberikan ekoran duit kutipan di seleweng.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan kepada Maahad Tahfiz Darul Hafidz (Maybank) ,di nombor akaun 5562 2641 4576.


0 comments:

share2