Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 13, 2018

INISIATIF FELDA 2.0 DIPERLUAS KE WILAYAH JENGKA, KUANTAN





Selepas FELDA Lurah Bilut di Bentong, dua lagi tanah rancangan FELDA di Pahang bakal dibangunkan di bawah Inisiatif FELDA 2.0 pada tahun ini.

Dua tanah rancangan yang dikenal pasti itu adalah di Wilayah FELDA Jengka dan Kuantan, tetapi belum ditentukan tanah rancangan yang akan dipilih.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad, berkata Pahang mempunyai bilangan peneroka paling ramai dan lama, justeru pihaknya sedang melihat dari segi potensi dua tanah rancangan berkenaan untuk dimasukkan dalam inisiatif berkenaan.

"Kita sedang menunggu maklum balas dan maklumat daripada pengurus rancangan yang ada di kedua-dua wilayah FELDA berkenaan dan semua syarat perlu dipenuhi bagi melayakkan mereka sebagai FELDA 2.0.

"Untuk tujuan itu FELDA memperuntukkan RM10 juta dan ditambah bantuan RM10 juta daripada Kerajaan Pusat bagi menaik taraf dan meningkatkan kemudahan di tanah rancangan berkenaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Peneroka FELDA Chini 3 dan 5, di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, seramai 229 peneroka FELDA Chini 3 dan 5, menerima surat hak milik tanah disampaikan Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Dato' Sri Abu Bakar Harun.

Selain itu, Shahrir berkata, apabila dua tanah rancangan itu dibangunkan, generasi kedua dan ketiga FELDA tidak perlu lagi keluar mencari kerja di tempat lain, sebaliknya terus tinggal di tanah rancangan berkenaan.

"Kemudahan yang akan dibangunkan nanti dilihat dapat menggalakkan generasi kedua tinggal dan terbabit dalam aktiviti baharu di tempat mereka sendiri.

"Mereka juga perlu bijak memperkenalkan produk pelancongan yang ada dalam kawasan mereka bagi menarik kehadiran pelancong, seterusnya dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka," katanya.

Sementara itu, Adnan turut mengingatkan peneroka supaya tidak mudah mempercayai fitnah terhadap FELDA yang dilemparkan pihak tertentu menerusi media sosial sehingga melupakan sejarah dan perjuangan pemimpin terdahulu yang mewujudkan tanah rancangan terbabit.

"Suka mengingatkan peneroka supaya tidak terima bulat-bulat, banyak fitnah dilemparkan menerusi media sosial, jadi jangan mudah percaya.

"Justeru, saya menyokong usaha kerajaan menggubal undang-undang mengekang fitnah dan sebaran berita palsu di media sosial," katanya.


0 comments:

share2