Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 16, 2017

PEMBANGKANG CUBA KELIRU RAKYAT




Kuala Lumpur - Tindakan pembangkang yang mengkritik lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat adalah cubaan untuk mengelirukan rakyat dari fakta sebenar.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau bingung dan keliru tentang pemahaman sesetengah pihak yang mendakwa lawatan Perdana Menteri tidak berasas.

Menurutnya, tindakan pembangkang tidak seharusnya berlaku, oleh itu beliau ingin mendidik mereka beberapa asas protokol diplomatik dan hubungan antarabangsa.

"Semua negara, termasuk Malaysia, mempunyai pengkategorian yang berlainan untuk lawatan oleh kenamaan asing. Bagi Amerika Syarikat, lawatan dibahagikan kepada lima kategori, iaitu lawatan negara, lawatan rasmi, lawatan kerja rasmi, lawatan kerja dan lawatan peribadi.

"Kementerian Luar Negeri telah mengeluarkan kenyataan pada 24 Ogos 2017, yang mana lawatan Perdana Menteri ke Amerika Syarikat adalah lawatan kerja, dan atas jemputan Presiden Donald Trump. Oleh itu, tidak ada alasan untuk mana-mana pihak untuk menyalahtafsirkan sifat lawatan tersebut," katanya

Reezal Merican berkata, berdasarkan protokol kontemporari Amerika, Presiden Amerika Syarikat boleh memanjangkan jemputan kepada Ketua Negara atau Ketua Kerajaan untuk lawatan kerja rasmi atau lawatan kerja.

Jelasnya, tempoh dan komponen kedua-dua kategori lawatan ini dipertimbangkan berdasarkan asas lawatan demi lawatan. Jemputan seperti itu biasanya adalah untuk perbincangan yang lebih substantif, dan terpisah dari unsur-unsur istiadat dalam lawatan negara atau lawatan rasmi.

Tambahnya lagi, lawatan kerja akan merangkumi mesyuarat kerja, dan penglibatan media adalah tidak wajib. Selaku tuan rumah Kerajaan Amerika Syarikat secara rasmi mengiktiraf kenamaan asing itu, serta pentingnya kunjungan itu dalam konteks hubungan dua hala.

"Maksud lawatan peribadi apabila ketua negara atau ketua kerajaan ke sana bukan atas undangan Presiden Amerika Syarikat malah tiada kunjungan ke White House.

"Sebaik tiba tiba di Pengkalan Gabungan Tentera Udara Andrews Perdana Menteri dan isteri disambut dengan penghormatan penuh bersesuaian dengan lawatan kerja," katanya.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sendiri menyambut kedatangan Najib di White House dan ini sudah cukup membuktikan ia adalah lawatan kerja dan bukan peribadi, jelas Reezal Merican.

"Kedua-dua pemimpin itu bertemu di Pejabat Oval, diiringi oleh diplomat paling senior mereka. Ini diikuti dengan mesyuarat delegasi di Bilik Kabinet, dan turut mendapat liputan dari media tempatan dan antarabangsa.

"Anggota pentadbiran Presiden Trump turut menyertai perbincangan itu, terutamanya Naib Presiden Mike Pence, Setiausaha Negara Rex Tillerson, Setiausaha Pertahanan James Mattis, Ketua Staf John Kelly, Penasihat Keselamatan Negara HR McMaster, Pengarah Majlis Ekonomi Negara Gary Cohn, Penasihat Kanan Jared Kushner, dan Duta Besar Amerika ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir.

"Perdana Menteri konsisten dalam memperkuat hubungan antara Amerika Syarikat dan Malaysia tanpa mengira siapa Presiden, jika kita lihat sejarah Presiden Barack Obama telah melawat Malaysia sebanyak dua kali ini menunjukkan bahawa Malaysia adalah penting kepada Amerika Syarikat dan jauh berbeza dengani zaman bekas Perdana Menteri terdahulu," katanya.

Reezal Merican berkata, serangan yang dibuat oleh pembangkang membuktikan mereka cetek pemikiran membuat tuduhan dengan pemahaman singkat mereka mengenai hubungan dua hala kita dengan Amerika Syarikat.


0 comments:

share2