Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 28, 2017

USIA 81 TAHUN BUKAN HALANGAN TERUS BELAJAR


Usia 81 tahun bukan halangan terus belajar


Hebron - Walaupun usinya menjangkau 81 tahun, warga Palestin Abdel Qader Abu Ajameyah masih bertungkus lumus belajar dan berharap keputusan terbaik bagi peperiksaan sekolah tinggi yang diambilnya.

Bekas peniaga makanan dari Hebron mengambil ujian buat pertama kalinya tahun lalu namun gagal dan dia tidak berputus asa menduduki ujian yang sama tahun ini sekali lagi.

Bapa kepada 14 orang anak itu berkata, dia mengulang kaji pelajaran lima jam sehari dan menumpukan perhatian sepenuhnya walapun ada antara cucunya yang seramai 36 orang sering mengajaknya bermain bersama.

"Saya suka pendidikan. Tiada had bagi seseorang untuk belajar dan ia tidak akan terhenti pada usia tertentu," katanya ketika ditembual wartawan Reuters.

"Saya mahu menjadi contoh kepada generasi muda, dan tidak akan pernah berhenti belajar,"katanya.

Abu Ajameyah mengambil peperiksaan di bilik yang dikhususkan untuknya di sebuah sekolah tempatan.

Dia yang mengalami strok baru-baru ini sehingga menghadkan pergerakan tangannya sehingga sukar untuknya menulis terpaksa dibantu seorang pembantu wanita untuk mengisi jawapan pada kertas soalan peperiksaan.

Angka dari Biro Statistik Palestin menunjukkan buta huruf di kalangan rakyat Palestin yang berumur 15 tahun ke atas hanyalah 3.3 peratus, salah satu kadar paling rendah di negara Arab.

Abu Ajameyah mendapat sokongan daripada keluarga terutama isterinya yang sentiasa cuba menjaga cucu daripada menganggunya ketika dia belajar.

"Ibu saya menjaga semua keperluan ayah saya seolah-olah dia adalah seorang pelajar sekolah tinggi berusia 18 tahun," kata Zakaria berusia 43 tahun, salah seorang anak Abu Ajameyah.

"Kita semua memberi galakan kepadanya dan kami semua sangat berbangga dengannya."

Zakaria berkata, bapanya mula bersekolah di sebuah kampung berhampiran Ramla yang kini adalah Israel, sebelum dirampas pada tahun 1948.

Ketika perang Arab-Israel pada tahun 1948, keluarga Abu Ajameyah terpaksa melarikan diri, menjadi pelarian di Tebing Barat.

Abu Ajameyah tidak lama kemudian berhenti sekolah untuk bekerja menjual makanan, dan hanya mula berfikir untuk menyambung pelajarannya apabila dia bersara satu dekad kemudian.

Katanya, matlamat sekarang adalah untuk menjadi setanding dengan anak dan cucu-cucunya.

Keputusan peperiksaan akan diketahui pada pertengahan bulan Julai dan lelaki itu bagaimanapun dia tidak merancang untuk pergi ke universiti.


0 comments:

share2