Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 27, 2017

[KUANTAN] TEMPOH MORATORIUM BAUKSIT DILANJUTKAN


Bauksit


Tempoh moratorium aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, yang sepatutnya berakhir pada 30 Jun ini, akan dilanjutkan sehingga selesai PRU14 akan datang, kata Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob.

Beliau menegaskan bahawa tindakan melanjutkan tempoh moratorium sehingga tamat PRU14 itu bukan 'permainan politik' dan berharap supaya masyarakat boleh melihat perkara itu daripada sudut yang lebih meluas.

"Keputusan ini perlu ditetapkan kerajaan yang memerintah. Mandat yang kita ada ialah sehingga PRU dan selepas itu bergantung kepada kerajaan yang memerintah untuk buat keputusan. Sudah pasti kena tunggu PRU," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, ketetapan itu dipersetujui bersama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, memandangkan hal berkaitan bauksit bukan lagi 'hak mutlak' kerajaan Pahang ekoran isu pencemaran yang berbangkit sebelum ini.

"Saya juga suka apabila kerajaan Persekutuan bekerjasama untuk membantu menyelesaikan masalah ini. Tapi ini bukan bermaksud saya mahu lepas tangan...tapi saya memang lega apabila mereka bantu.

"Kita setuju lanjut tempoh moratorium (sehingga PRU) tapi kerajaan negeri serahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk sebarang keputusan akhir," katanya.

Pada 27 Mac lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan tempoh moratorium terhadap aktiviti perlombongan bauksit yang bermula 15 Januari 2016 dilanjutkan sehingga 30 Jun ini bagi memberi peluang pengusaha menghabiskan baki stok.

Ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa berlaku aktiviti perlombongan secara haram dalam tempoh pelaksanaan moratorium, Adnan berkata terdapat dua kemungkinan dalam hal itu.

Katanya, kehadiran lori bauskit di jalan raya seperti dakwaan penduduk setempat boleh disebabkan tindakan pengusaha yang mendapat permit import khas (AP) bagi menghabiskan baki stok yang telah dilombong sebelum tempoh moratorium berkuat kuasa.

"Saya rasa kita juga tidak boleh tolak kemungkinan ada yang melombong secara haram... yang paling saya perhatikan, apabila buat secara sulit, mereka lakukan elok pula. Semasa diberikan kebenaran (melombong) mereka buat sambil lewa sehingga ada pencemaran.

"Kita akan siasat tetapi kuasa (mengeluarkan) AP dan permit penguatkuasaan ada pada menteri (kerajaan Persekutuan) dan beliau sentiasa bertanya dengan kerajaan negeri mengenai perkembangan semasa," katanya.


0 comments:

share2