Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 3, 2017

[BERA] SUMBANGAN TIDAK PERNAH PUTUS


Sumbangan tidak pernah putus


Anak yatim di daerah ini tidak terpinggir daripada menerima bantuan dan sumbangan sepanjang tahun, namun pada bulan Ramadan, rezeki mereka lebih berlipat ganda.

Tinjauan Sinar Harian ke satu-satunya rumah anak yatim di sini mendapati, meskipun kelengkapan dan keperluan penghuninya masih kekurangan tetapi sumbangan daripada masyarakat tidak pernah putus.

Pengerusi Rumah Anak Yatim Koi Bera, Juhari Abdullah berkata, sejak beroperasi Januari lalu, dua anak yatim diterima masuk berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Mereka ialah Puteri Nurul Nabila Md Nayan, 12, dan Nur Farhana Bt Abdullah, 8 tahun.

“Kalau ikutkan memang ramai anak yatim di daerah ini, tapi kita pilih yang betul-betul miskin dan memerlukan bantuan secara berterusan. Tidak dinafikan ramai yang memohon namun saya tak boleh terus terima kerana rumah ini pun boleh muat dalam lapan orang saja.

“Ini langkah awal saya untuk bantu anak yatim di sini. Mungkin selepas ini, kalau ada sumbangan orang ramai untuk bantu membesarkan rumah ini, Insya-Allah...jumlah penghuni boleh ditambah lagi,” katanya.

Penjaga Rumah Anak Yatim Koi Bera, Susanti Esri, 48, berkata, anaknya Nur Farhana ditawarkan untuk menghuni di sini memandangkan suaminya sudah meninggal lapan tahun lalu, dan kemudian mereka hilang tempat bergantung selepas ibu majikannya meninggal tahun lalu.

Katanya, walaupun dibenarkan menetap sementara di rumah ibu majikan, dia segan berbuat demikian dan menerima tawaran Rumah Anak Yatim Koi Bera.

Sementara itu, Nur Farhana memberitahu, dia gembira tinggal di sini kerana sudah mempunyai kawan walaupun ada di antara mereka yang lebih berusia daripadanya.

Katanya, dia bersama Puteri Nurul Nabila berkesempatan berkawan dengan anak Juhari memandangkan Rumah Anak Yatim Koi Bera bersebelahan dengan rumah Juhari.

“Selalunya, waktu Maghrib kami akan ke rumah atuk (Juhari) untuk solat berjemaah, mengaji dan belajar. Mak pun ikut sekali. Saya rasa seronok,” katanya.

Bagaimanapun, semasa kehadiran wartawan Sinar Harian di sini, Puteri Nurul Nabila tiada kerana mengikut Juhari ke Pulau Pinang bagi menguruskan urusan keluarganya di sana.

Dalam perkembangan lain, Juhari yang juga AJK Masjid Darul Fikri memberitahu, pihaknya turut menghulurkan sumbangan kepada anak yatim di bawah kariah masjid itu menerusi dana yang terkumpul dalam Tabung Anak Yatim.

Katanya, lebih 70 anak yatim akan menerima sumbangan berbentuk wang tunai bagi memudahkan mereka membeli kelengkapan menyambut Syawal.

“Kalau tahun lepas, kita bawa mereka ke Temerloh beli baju raya, tahun ni kita bagi duit. Biarlah mereka beli ikut pilihan dan kehendak masing-masing.

“Bagi kami, anak yatim ini perlu diraikan bukan sekadar pada bulan Ramadan tapi juga pada masa-masa tertentu terutamanya semasa awal persekolahan yang perlukan perbelanjaan besar untuk melengkapi keperluan mereka...dan itu yang pihak masjid lakukan,” katanya.


0 comments:

share2