Seorang anak muda enggan menjadikan penganggurannya sebagai alasan tidak memajukan diri, sebaliknya masa yang terluang digunakannya untuk mengusahakan homestay kontena yang kini semakin mendapat sambutan menggalakkan.
Malahan apa yang lebih membanggakan adalah usaha Nor Ariffin Daud, 24, bersama sekumpulan rakannya yang membangunkan homestay berkenaan
dengan keringat dan kudrat mereka sendiri menggunakan kontena terpakai.
Berbekalkan ilmu Kemahiran Hidup yang pernah ditimba mereka semasa menuntut di Institut Pendidikan Guru Malaysia Tun Hussein Onn di Batu Pahat, Nor Ariffin Daud dan rakannya menghabiskan masa lebih empat bulan mengubahsuai kontena terpakai yang dibelinya di Pelabuhan Klang menjadi penginapan yang selesa.
Menurut Nor Ariffin, usaha menukarkan kontena terpakai menjadi penginapan selesa merupakan satu cabaran yang cukup getir di mana hampir setiap tugas dilakukan beliau dan rakan tanpa bantuan pihak lain.
Keadaan salah sebuah penginapan kontena DD Homestay and Container House
“Kontena ini adalah kontena terpakai, jadi keadaannya tidaklah begitu baik. Banyak kerja pembaikan yang perlu kami lakukan.
“Bukan itu sahaja. Pendawaian dan sebagainya juga kami lakukan sendiri,” katanya semasa ditemui di DD Homestay and Container House di Taman Desa Duyong.
Kelainan serta keunikan penginapan menggunakan kontena ini pastinya suatu pengalaman yang berbeza berbanding hotel atau homestay yang biasa.
Malahan keunikan inilah yang menjadikan DD Homestay and Container House semakin mendapat perhatian pengunjung ke Melaka.
Menurut Nor Ariffin, idea untuk menggunakan kontena sebagai tempat penginapan ini terhasil apabila ada guru yang dikenalinya mengguna kontena terpakai yang ditukar menjadi pusat tuisyen.
Kegigihan Nor Ariffin membangunkan homestay kontenanya dengan hanya kudratnya sendiri
Menurutnya, beliau berkenan dengan idea berkenaan kerana selain dapat menjimatkan kos, ia juga satu usaha baik ke arah mengitar semula penggunaan kontena.
Menurutnya, beliau mula menceburkan diri dalam bidang homestay ini selepas masih gagal mendapatkan penugasan selepas menamatkan pengajian akhir tahun lalu.
Bermula dengan tiga buah rumah lewat tahun lalu, homestay kontenanya hanya mula beroperasi bulan lalu dan sehingga kini, ia sering dipenuhi tempahan saban hujung minggu.
Selain menggunakan konsep asrama yang boleh memuatkan sehingga 20 penghuni, DD Homestay and Container House turut menawarkan unit kontena dengan tiga bilik dengan setiap satu boleh memuatkan antara empat dan lapan penghuni.
Menurut Nor Ariffin, ekoran sambutan yang cukup menggalakkan semenjak kediaman kontena itu mula beroperasi, beliau kini merancang untuk
memperbesarkan lagi kemudahan yang disediakan.
“Selain harganya yang berpatutan, ramai beranggapan kediaman jenis kontena ini agak unik dan mungkin sebab itulah ia sering menjadi pilihan.
“Malahan, adakalanya, saya terpaksa menolak dan merujuk pelanggan kepada pengusaha lain kerana tidak lagi dapat menampung permintaan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment