Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 3, 2017

[TIOMAN] TERUMBU KARANG BUKAN TUMBUHAN


Terumbu karang bukan tumbuhan


Tanggapan sesetengah pihak bahawa terumbu karang sejenis tumbuhan di dasar laut atau batu adalah sama sekali salah kerana karang merupakan sejenis haiwan.

Ia sebenarnya sejenis haiwan yang sangat kecil selain boleh menghasilkan kalsium karbonat seperti manusia untuk membentuk rangka seterusnya terjadilah terumbu karang yang keras.

Kepelbagaian jenis karang ini juga mengeluarkan ribuan telur (coral spawning) dan berlaku proses persenyawaan untuk tujuan pembiakan yang hanya berlaku dua kali dalam setahun ketika fasa bulan terang.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Reef Check Malaysia (RCM) terhadap terumbu karang di Pulau Tioman, Pahang, NGO itu berjaya mengenal pasti ia berlaku pada April dan Oktober setiap tahun.




Koordinatornya, Alvin Chelliah berkata, kajian berkenaan telah masuk tahun keempat yang mula dilakukan pada 2014 dan mendapati proses karang bertelur lebih banyak pada April berbanding Oktober.

Menurutnya, kajian itu hanya untuk trend bertelur bagi kepelbagaian terumbu karang yang ada di Pulau Tioman manakala di pulau lain ia tidak sama dan memerlukan kajian.

Kejadian sangat istimewa

Katanya, kejadian yang jarang berlaku itu menjanjikan pengalaman sangat istimewa kerana tidak semua orang dapat menyaksikannya termasuk penyelam yang sudah lama terlibat dengan aktiviti itu.

“Bagi karang di Pulau Tioman ini, kita tahu mengenainya selepas menjalankan kajian, tarikhnya juga berubah setiap tahun mengikut putaran bulan dan berlaku hampir dengan fasa bulan penuh pada April.

“Ia berlaku dalam tempoh tiga hingga empat malam namun hanya ada satu malam yang utama dan pada malam itu pelbagai spesies karang akan melepaskan telur serentak menjadikannya kejadian begitu istimewa,” katanya kepada Sinar Harian.

Tidak sama seperti haiwan lain, proses bertelur seperti itu berlaku disebabkan karang tak boleh bergerak yang menyukarkannya untuk membiak, maka caranya hanya dengan melepaskan telur dan sperma di air sebelum ia bercampur.

Alvin berkata, hasil daripada kejadian itu ia akan menetaskan larva yang kemudiannya akan hanyut di ruang air dan ia boleh berenang sehingga menjumpai permukaan yang sesuai sebelum melekat untuk mula tumbuh.

“Bila dah mula tumbuh, ia juga mula menghasilkan kalsium karbonat dan terhasilnya polip (polyp), kemudian berkembang dari satu jadi dua, dari dua jadi empat, empat jadi enam belas serta seterusnya sebelum cukup dewasa untuk mengeluarkan telur.

“Karang terdiri polip kecil iaitu beratus haiwan kecil yang hidup bersama untuk menghasilkan satu karang yang kemudian membentuk koloni yang terdiri daripada pelbagai spesies berbeza sebelum terbentuknya terumbu karang,” katanya.




Karang keluarkan telur yang banyak

Hasil kejayaan kajian itu, tahun ini RCM meneruskan lagi kajian yang turut melibatkan Tlymouth University dari England bagi mengenal pasti pilihan yang dibuat oleh larva untuk menetap atau permukaan bagaimana yang paling digemari.

Alvin berkata, kajian itu dilakukan dengan meletakkan pelbagai jenis bahan dalam seperti konkrit, kaca dan sebagainya ke dalam laut manakala akan mengambilnya pada 15 Mei depan sebelum kajian lanjut dilakukan.

“Dalam ribuan telur yang dilepaskan ini, hanya sedikit yang akan hidup kerana risikonya ia mungkin dimakan oleh ikan atau rosak, disebabkan itu karang mengeluarkan telur yang banyak untuk meningkatkan peluang.

"Jika ke Pulau Tioman, pengunjung yang menyelam atau snorkeling untuk melihat terumbu karang tentu terpegun dengan kepelbagaian warna terumbu karang yang sangat cantik namun hakikatnya warna itu bukan pada haiwan yang membentuk terumbu karang," katanya.

Larva yang terhasil daripada telur timbul di permukaan air sebelum hanyut ke tengah laut dan melekat pada sesuatu permukaan yang sesuai dan mula tumbuh.




Jelas Alvin, warna itu terhasil daripada sejenis alga yang hidup pada lapisan kulit haiwan itu dan ia sebenarnya membekalkan hampir 80 peratus tenaga kepada karang tersebut.

Menurutnya, sekiranya melihat terumbu karang tidak berwarna, ia telah luntur dan menjadi warna putih (coral bleaching) yang disebabkan air panas, ada pencemaran atau disebabkan haiwan lain seperti tapak sulaiman mahkota berduri.

“Tapak sulaiman mahkota berduri ini merupakan hidupan semula jadi namun kini ia sukar dikawal kerana pemangsa utamanya, triton trumpet shell dan napoleon wrasse semakin pupus. Jadi RCM melakukan pemantauan dan terpaksa mengeluarkan serta membunuhnya,” katanya.

0 comments:

share2