Kuala Lumpur - Golongan dewasa secara puratanya memerlukan tidur selama lapan jam sehari untuk mendapat rehat yang cukup.
Pakar psikologi dan kaunseling, Dr Meriam Omar Din berkata, individu yang tidak cukup tidur akibat tekanan dan bebanan tugas terdedah gejala terlelap atau dipanggil micro sleep.
“Micro sleep bukan penyakit. Ia seperti tidur dan menyebabkan seseorang tidak boleh kawal fikiran dan deria dalam masa singkat.
“Keadaan ini boleh berlaku di mana-mana atau ketika lakukan sesuatu kerja, namun micro sleep lebih bahaya kepada yang memandu atau tunggang motosikal,” katanya.
Dr Meriam berkata, walaupun minuman berkafein seperti kopi dapat membantu, namun tidur tetap penting untuk memastikan diri kekal cergas dan bertenaga.
Gejala micro sleep ini nyaris meragut nyawa Khairul Nizam Ahmad yang membuatkannya lebih berhati-hati dan tidak leka dapatkan rehat dan tidur cukup ketika memandu.
Ejen insurans itu berkata, kejadian berlaku pada 2015 itu ketika beliau masih menuntut di kolej swasta telah membuka matanya untuk lebih menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan diri.
“Saya tidak cukup tidur kerana ulang kaji pelajaran hingga lewat malam bagi hadapi peperiksaan tahun akhir, ditambah pula tekanan untuk dapat keputusan terbaik,” katanya.
Menceritakan kejadian itu, Khairul Nizam berkata, beliau yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke kolejnya di Petaling Jaya hampir melanggar pembahagi jalan sehingga menyebabkan kereta dipandunya berpusing dan hilang kawalan.
Disebabkan terlalu panik, pemuda berusia 33 tahun itu akhirnya memandu secara perlahan ke stesen minyak berdekatan untuk tenangkan diri dan tidur seketika sebelum meneruskan perjalanan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor