Pages

Tuesday, May 23, 2017

RAMADAN LEBIH BERMAKNA


Ramadan lebih bermakna


Kuala Pilah – “Makcik gembira dan terharu. Akhirnya rumah pusaka ni bersih, terima kasih kepada yang datang tolong makcik di sini,” ujar Hani Abd Wahab, 64.

Menurut warga emas itu, dia tidak menyangka terpilih untuk menerima kunjungan dan aktiviti gotong-royong pembersihan rumah, oleh sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Pilah yang dibantu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanggai.

“Hanya ALLAH SWT dapat balas budi baik mereka yang menolong makcik.

“Dulu, makcik tinggal bersama emak. Tapi sekarang tinggal seorang. Dah dua tahun emak meninggal dunia. Sejak duduk seorang, makcik tak mampu dan tak larat nak bersihkan rumah serta seluruh kawasan sekitar rumah ni,” katanya kelmarin.

Ujar Hani, lebih membuatkannya terharu apabila rumahnya dibersihkan pada ketika umat Islam kini sedang membuat persediaan menyambut Ramadan.

“Bila kita nak sambut puasa, kita mesti mahukan rumah yang bersih. Alhamdulillah, impian ni tercapai. Rumah dah bersih dan cantik.

“Makcik memang ternanti-nantikan Ramadan ni sebab ia bulan rahmat untuk umat Islam,” katanya yang juga penerima bantuan am JKM dan Baitulmal.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Tanggai, Rozi Abdul Rahman berkata, aktiviti itu dijayakan sempena Program Dekat Dihati siri kelapan, dengan memilih penduduk kalangan warga emas.

“Kita faham, dia tinggal seorang diri, sukar untuk bersihkan halaman rumah. Aktiviti ini diadakan bagi membolehkan warga emas (Hani) ini dapat jalani hidup lebih selesa dan bersih.

“Alternatif JKM amat dihargai. Terima kasih kerana pilih kampung ini sebagai salah satu program JKM,” katanya.

Hadir sama, Pegawai Kebajikan Daerah, Mohamad Affendy Mat Sani.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor