Sebut sahaja bazar Ramadan, pasti semua orang terbayangkan pelbagai jenis juadah berbuka puasa yang dijual. Tidak kurang juga karenah peniaga dalam menarik perhatian pengunjung dengan membuat pelbagai kelainan. Bukan setakat kuih muih, pelbagai jenis lauk pauk dan aneka air turut menceriakan suasana bazar. Wartawan Sinar Harian menyingkap kisah mereka yang menjadikan Ramadan sebagai sumber rezeki.
Peniaga akui utamakan kualiti makanan supaya wang dibelanjakan pelanggan berbaloi
Sesetengah pemilik restoran atau kedai makan di daerah ini memilih untuk menjual lauk pauk sepanjang bulan Ramadan kerana ia dikatakan lebih baik berbanding membuka kedai makan pada sebelah malam sahaja.
Namun ada juga pemilik restoran tidak menutup terus kedainya sebaliknya mengembangkan perniagaan di bazar Ramadan dengan menggunakan pekerja tambahan.
Pengurus Restoran Mydah, Faridah Mohammad, 51, berkata, dia tetap berniaga di bazar Ramadan kerana ia merupakan peluang terbaik untuk menjana pendapatan, malah lebih baik berbanding bulan lain.
Katanya, restorannya beroperasi seperti biasa pada sebelah malam tetapi dia menumpukan kepada menjual lebih 50 jenis lauk di bazar Ramadan di Bandar Baharu Pasir Puteh Sentral.
“Apa yang penting kita tekankan kualiti makanan tu sendiri, kita tak mahu pelanggan belanjakan wang untuk beli lauk atau juadah tak seberapa,” katanya.
Menurutnya, pengalaman berniaga di bazar Ramadan membolehkan dia mengumpul pelanggan tetap yang akan mencari gerainya walaupun bazar berpindah ke lokasi baharu mulai tahun ini.
0 comments:
Post a Comment