Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 2, 2017

[PEKAN] BANTU TINGKAT PENDAPATAN NELAYAN


Bantu tingkat pendapatan nelayan


Inisiatif Jabatan Perikanan Pahang melaksanakan projek penambahan pendapatan kepada nelayan ternyata berupaya membantu nelayan menambah pendapatan yang menyertai projek berkenaan.

Ia diakui nelayan, Zakaria Ismail, 64, selepas terpilih menyertai projek tersebut dan memperoleh lebih berbanding sebelum ini.

Menurutnya, walaupun berhadapan dengan pelbagai masalah ketika di laut namun dengan kesungguhan hasil tangkapan seperti ikan dan udang pasti berpihak kepada mereka.

“Kini nelayan menikmati limpahan rezeki apabila mampu meraih pendapatan lebih untuk menyara keluarga.

“Selain insentif hasil tangkapan setiap nelayan turut menerima elaun sara hidup RM300 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program lawatan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Adnan Hussain ke projek penambahan pendapatan di Kampung Pasir Panjang, di sini kelmarin.

Zakaria berkata, pendapatan yang semakin bertambah dan golongan nelayan apabila mampu meraih RM1,000 hingga RM1,500 sebulan hasil jualan tangkapan ikan dan udang.

Katanya, projek penambahan pendapatan Jabatan Perikanan Pahang seperti yang diusahakan nelayan Kampung Pasir Panjang yang menternak ikan sangkar turut memberi pendapatan tambahan RM1,000 setiap tiga bulan.

Nelayan Kampung Sungai Miang, Zaliki Zahari, 44, pula berkata, projek tersebut dapat menjana pendapatan tambahan kepada nelayan terbabit.

“Saya mampu meraih pendapatan antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan, hanya pada musim tengkujuh pendapatan akan menurun apabila laut bergelora.

“Namun, dengan adanya projek ini, nelayan dapat menjadikan pendapatan sampingan terutama pada musim laut bergelora,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, seramai 24 nelayan pantai Kampung Pasir Panjang terpilih menyertai projek penambahan pendapatan membabitkan 80 unit sangkar ikan tilapia merah di Sungai Pahang.

Katanya, menerusi projek penambahan pendapatan membabitkan projek ternakan ikan sangkar selain bantuan elaun sara hidup nelayan (ESHN) dan insentif hasil tangkapan berjaya menambahkan pendapatan golongan terbabit.

“Projek yang bermula awal tahun lalu itu mampu memberi pendapatan tambahan kepada nelayan dan sehingga kini jumlah pengeluaran bernilai RM76,490.

“Lebih banyak projek sedemikian akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.


0 comments:

share2