Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 5, 2017

[MUADZAM SHAH] TIDAK BOLEH MALU BERDAKWAH


Tidak boleh malu berdakwah


Memikul tanggungjawab sebagai pendakwah untuk menyebarkan agama Islam memerlukan semangat tinggi dan tidak boleh malu untuk berdepan dengan masyarakat bukan Islam.

Demikian luahan Pembantu Penggerak Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (Petama), Basry Lohing, 43, yang tidak pernah kenal erti jemu dalam menyebarkan Islam di perkampungan Orang Asli Buluh Nipis, di sini, dan kampung lain di sekitarnya.

Memeluk Islam pada usia 17 tahun, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Orang Asli Buluh Nipis itu mengakui dipinggirkan saudara mara namun beliau tidak pernah ambil hati.

Menurutnya, hanya kadang-kadang terlintas rasa putus asa dalam dirinya ketika beliau tidak mampu membantu memudahkan urusan saudara baharu atau mereka yang menunjukkan minat untuk memeluk Islam.

Beliau yang merupakan generasi kedua memeluk Islam di kampung itu bersama dengan Pembantu Penggerak lain kini berjaya menarik hampir separuh saudara baharu daripada sekitar 600 orang jumlah keseluruhan penduduk.

“Ada penduduk yang lagi awal memeluk Islam di kampung ini tapi mereka tinggal di luar, saya yang masih kekal di kampung selepas memeluk Islam pada ketika itu ditawarkan oleh Yayasan Pahang untuk menjadi Pembantu Penggerak Petama.

“Saya bersama beberapa pembantu penggerak lain turut masuk di kampung lain berhampiran, kami kena rajin bercakap dan tidak boleh malu baru boleh menyampaikan dakwah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Bil Hal 1.0 dan Majlis Pengislaman Saudara Baharu Yayasan Pahang (YP) 2017 yang disempurnakan oleh Pengurus Besar YP, Datuk Mahmud Mohd Nawawi, semalam.

Seramai 42 saudara baharu dari kalangan masyarakat Orang Asli Kampung Buluh Nipis telah melafazkan syahadah pada majlis itu yang turut menerima sumbangan dalam pelbagai bentuk.

Beliau berkata, gerakan dakwah juga perlu bijak dengan mengenal pasti budaya masyarakat itu terlebih dahulu dan memahami sensitivitinya sebelum boleh bercerita tentang Islam.

Katanya, dengan cara itu pendakwah boleh mengetahui bila waktu yang sesuai supaya Islam dapat disampaikan dengan cara lebih mudah dan mereka dapat mendengar serta menerimanya dengan rela hati.

Berkongsi kisah peringkat awal beliau memeluk Islam, ia telah pun menjadi sejarah apabila tidak diterima saudara mara hingga tidak dibenarkan memasuki rumah.

“Ketika itu ada saudara mara kata saya dah masuk Melayu, tapi saya tak putus asa, terus ziarah sebab kami ada pertalian, semoga suatu hari dibukakan pintu hati untuk menerima Islam,” katanya.

Bersyukur kerana akhirnya mengikut jejak ibu mereka yang memeluk Islam dua tahun, dua beradik yang juga merupakan ibu tunggal turut diraikan dalam majlis itu.


0 comments:

share2