Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 4, 2017

[KUANTAN] TAK LOGIK PENDAPATAN NELAYAN HANYA RM400


Tak logik pendapatan nelayan hanya RM400


Dakwaan mengatakan pendapatan nelayan bawah RM400 adalah tidak logik sama sekali kerana nelayan hari ini mampu memperoleh pendapatan purata RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Ia diakui nelayan Kampung Baru Beserah, Khairul Nizam Jusoh, 38, yang menjadi nelayan sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, pendapatan sebagai nelayan bukanlah seperti yang difikirkan iaitu terlalu sedikit.

"Kalau RM400, apa kami nak makan. Pihak yang berkata demikian tak pernah cuba mendekati kami yang bekerja sebagai nelayan.

"Cuma saya tak nafikan, pendapatan nelayan tidak menentu, bergantung kepada rezeki dan cuaca,"katanya ketika di Jeti Nelayan Kampung Baru Beserah.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Kampung Baru Beserah, Aziz Mohamad.

Bagi nelayan veteran, Abdullah Osman, 70, berkata, dia yang ke laut setiap hari memperolehi purata pendapatan RM1,000 sebulan.

Katanya, nelayan sering dikatakan golongan susah, namun ia bergantung pada sikap sama ada malas atau rajin.

"Pakcik akan ke laut jam 7 pagi dan balik kira-kira jam 12 tengahari. Hari-hari dapat ikan cuma sedikit atau banyak sahaja,"katanya yang mengakui ia mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian sekeluarga.

Jelasnya, dia tidak perlu bimbang mengenai hasil tangkapan kerana sudah ada pemborong yang menempah ikan daripadanya.

Aziz berkata, terdapat 30 bot fiber di situ membabitkan 60 nelayan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pahang (PERNEPA) , Zulkiflee Yusof berkata, pihaknya menafikan kenyataan yang tidak berasas oleh pihak terbabit.

Menurutnya, berdasarkan kajian sosial ekonomi masyarakat nelayan yang dijalankan pada 2007 oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan nelayan, purata pendapatan bulanan melebihi RM1,000 sebulan.

"Perkara ini tidak harus menjadi isu memandangkan nelayan mendapat elaun sara hidup yang diberikan kerajaan sebanyak RM300 sebulan.

"Selain itu , kita dapat lihat pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan dalam meningkatkan sumber pendapatan golongan ini termasuk memberikan elaun sara hidup, insentif tangkapan dan minyak bersubsidi,"katanya pada sidang media di Jeti LKIM Kemunting.


0 comments:

share2