Meskipun berada di negara asing untuk menimba ilmu demi mencapai cita-cita, ia tidak menghalang mereka untuk menunaikan ibadah berpuasa di bulan Ramadan ini.
Mereka termasuklah pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang tidak ketinggalan merasai pengalaman menjalani ibadah berpuasa bersama-sama rakan warga tempatan di sini.
Bagi pelajar Ijazah Sarjana (PhD) Sains dan Teknologi Industri, Md Fazlul Karim Khan, 38, dari Bangladesh, pengalaman berpuasa di Malaysia merupakan satu detik istimewa yang boleh dikongsi apabila pulang ke negara asal nanti.
Mohd Fazlul berkata, belajar dalam persekitaran berbeza dan jauh dari kampung halaman adalah sesuatu yang mencabar, namun apabila mengetahui ganjaran dari Allah SWT, ia memberikan kekuatan untuk dia terus melaluinya.
“Berbanding negara sendiri, memang ada beza. Di sini yang menariknya setiap kali berbuka, kami sama-sama bawa pelbagai jenis juadah tradisional dan bertukar-tukar dengan rakan senegara.
“Dalam masa yang sama saya dan kawan-kawan juga dapat rasa juadah yang turut dikirim oleh kawan-kawan, jiran dan keluarga angkat di sini," katanya yang menggemari makanan Melayu seperti pulut seri kaya (pandan), karipap, nasi lemak, rendang, otak-otak dan martabak.
Dalam pada itu, menurutnya, menjadikan ibadah berpuasa itu lebih kuat adalah dengan menunaikan solat sunat Tarawih.
“Di sini saya memang tak solat tarawih sendirian, mesti berjemaah dengan komuniti di masjid. Walaupun kita semua dari tempat dan negara yang berbeza tapi bila datang masjid, kita semua sama di depan ALLAH SWT,” katanya.
Sementara itu, katanya, selama berpeluang menjalani ibadah puasa di perantauan, ia tidak pernah mengundang rasa tidak selesa atau kekesalan malah menganggap satu perkara yang harus dilalui dengan
“Memanglah menjelang Ramadan akan mula rindu dengan negara sendiri, keluarga, adik-beradik, rakan-rakan, tapi saya kena bersabar dan tolak tepi bagi menyelesaikan tanggungjawab.
“Namun saya bersyukur, berpuasa di sini selesa, orangnya sangat baik," katanya.
Bagi Benraghda Abdelmadjid, 29, yang berasal dari Algeria, walaupun menunaikan ibadah puasa itu tidak ada beza, namun dia gembira kerana banyak perkara menarik yang dapat dikumpul sepanjang Ramadan di negara asing.
Katanya, UMP memberikannya persekitaran rohani yang istimewa kerana kebanyakan pelajar menunaikan solat berjemaah termasuk sunat tarawih bersama-sama di masjid.
“Masa mengerjakan solat tarawih bersama pelajar-pelajar antarabangsa lain, sedikit sebanyak rasa rindu pada negara tercinta terubat.
“Seronok juga sesekali rasa kelainan. Lepas berbuka, semua pelajar di sini berarak ke masjid. Ini berbeza daripada biasa,” katanya yang turut meluangkan masa bertadarus al-Quran bersama teman-teman lain jika berkesempatan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor