Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 2, 2017

[KUANTAN] POLIS BERJAYA RAMPAS PELBAGAI JENIS DADAH


Polis berjaya rampas pelbagai jenis dadah


Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk dua buah kenderaan dengan nilai keseluruhan RM522,185.

Rampasan itu membabitkan tiga lelaki iaitu dua daripadanya ditahan di tepi jalan Lorong Bukit Setongkol di sini pada 30 April lalu dan seorang lagi suspek ditahan di Hentian Plaza Tol Chenor, Maran pada 28 April lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Rosli Ab Rahman, kejayaan itu adalah terbesar direkodkan jabatan itu dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Menurutnya, serbuan tu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam mengenai aktiviti pengedaran dadah di sekitar Kuantan dan kawasan Pahang Barat.

"Untuk serbuan pertama pada 30 April lalu, kita memberkas dua lelaki berusia lingkungan 40-an ketika berada dalam kenderaan di Lorong Bukit Setongkol, dekat sini.

"Hasil pemeriksaan dilakukan pegawai dan anggota membawa kepada penemuan sejumlah dadah jenis heroin seberat 4.529 gram (g) dianggarkan bernilai RM113,225, syabu seberat 1208.50 g(RM84,595) serta dua buah kenderaan turut dirampas bernilai RM175,000 dengan nilai keseluruhan RM372,820," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata sedemikian dalam sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini yang turut dihadiri Ketua Jabatan JSJN Pahang, Superintendan Lam Thian Huat.

Menurutnya, punca bekalan diperolehi dari Muar, Johor dan suspek pertama mempunyai 13 rekod kesalahan lampau iaitu 8 kes berkaitan dadah dan 5 (jenayah) manakala suspek kedua memiliki 5 rekod kesalahan lampau iaitu 4 (dadah) dan 1 (jenayah).

"Saringan ujian awal air kencing kedua-duanya didapati positif Amphetamine,"jelasnya lagi kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952.

Ujarnya,kedua-duanya telah ditahan reman selama seminggu bermula semalam di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi tujuan siasatan .

Dalam pada itu, untuk tangkapan di plaza tol Chenor, seorang lelaki berusia 41 tahun di tahun dan hasil rampasan membabitkan dadah jenis heroin seberat 3750.6g bernilai RM93,775, syabu seberat 536.87g (RM37,590), pil Eramin 5 sebanyak 500 biji (RM17,500) serta wang tunai RM500 dengan nilai keseluruhan RM149,365.

Menurutnya, punca bekalan diperolehi dari Kuala Lumpur dan dipercayai untuk pasaran di kawasan Felda dan kampung-kampung sekitar.

"Suspek memiliki lima rekod kesalahan lampau iaitu satu kes dadah dan selebihnya jenayah dan hasil saringan ujian awal air kencing didapati positif Amphetamine.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) akta sama dan telah ditahan reman selama seminggu bermula 28 April lalu hingga 4 Mei di lokap IPD Maran bagi tujuan siasatan,"katanya lagi.

Ditanya jika kedua-dua kes mempunyai kaitan, beliau memberitahu tiada kaitan antara mereka dan meminta orang ramai terus menyalurkan maklumat supaya dapat membantu pihak polis dalam membanteras dadah di negara ini.


0 comments:

share2