Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 18, 2017

[KUANTAN] DUA BERADIK DIDAKWA PECAH AMANAH


Dua beradik didakwa pecah amanah


Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, semalam atas pertuduhan pecah amanah menggunakan kad inden milik Syarikat Rapid Bus Kuantan Sdn Bhd bagi kegunaan sendiri, tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusuf.

Tertuduh, Khairulanuar Khairuddin, 34, bekerja sebagai penyelia kad minyak Prasarana Malaysia Berhad manakala adiknya, Mohd Khairul Bashar, 25, bekerja sebagai pembantu kedai makan didakwa melakukan kesalahan itu di Stesyen PETRONAS SS Maju Raudah, Bukit Pelindung, di sini antara 7.55 malam sehingga 8.39 malam, pada 26 Mei 2016.

Berdasarkan kertas pertuduhan, masing-masing didakwa menggunakan lima kad inden iaitu Kad Petronas Smart Pay didaftarkan atas nama enam bas Rapid Kuantan.

Dengan itu, kedua-dua tertuduh menyebabkan kerugian terhadap syarikat tersebut membabitkan 1,830.208 liter diesel dalam tempoh itu dengan nilai RM2,836.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebat dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan ikat jamin RM15,000 bagi setiap tertuduh.

Namun, Khairulanuar mengemukakan rayuan kepada mahkamah meminta agar ikat jamin terhadapnya dikurangkan memandangkan perlu menanggung keluarga iaitu empat anak dan seorang isteri yang tidak bekerja, manakala bagi Mohd Khairul tiada kerja tetap serta menanggung isteri dan seorang anak masih kecil.

Bagaimanapun, Habibah menetapkan ikat jamin RM7,000 terhadap kedua-dua tertuduh dan 6 Jun sebagai sebutan semula sementara menunggu lantikan peguam.

Kemudian, mereka membayar wang ikat jamin tersebut dengan masing-masing seorang penjamin.


0 comments:

share2