Walaupun sudah berpuluh tahun menetap di Malaysia, namun masih segar dalam ingatan seorang anak kelahiran Indonesia akan kemeriahan berpuasa di kampung halamannya.
Malah jeritan mengejutkan penduduk Tembilahan, Riau untuk bangun sahur masih lagi terngiang-ngiang di telinga Jumri Abd Wahab, 49 sekali gus menjadikan momen itu istimewa dan sama sekali tidak dapat dirasainya setelah menetap di Malaysia sejak tahun 1982.
Jumri berkata, dia bersama kedua ibu bapanya serta enam adik beradik berpindah ke negara ini untuk mencari kehidupan yang lebih selesa sebelum dia mendirikan rumah tangga dengan wanita tempatan Siti Zauyah Mat Yusof, 48, pada 26 tahun lalu.
"Tradisi berpuasa di kampung asal saya tidak ada bezanya dengan Malaysia, suasana sama saja kecuali kemeriahan yang dirasai ketika sahur. Di sana mereka kejut dengan menjerit sahur! sahur! sepanjang jalan raya dan masjid.
Jumri (kiri) bersama Siti Zauyah (kanan) dan dua anak mereka menyediakan juadah berbuka untuk dijual di Bazar Ramadan Jerantut Feri selain turut menjadi juadah berbuka mereka sekeluarga
“Dari segi makanan juga tak jauh beza. Di sana ada makanan seperti bakso ketika berbuka, di sini juga saya dan keluarga masak bakso dan lain-lain lagi juadah tradisi Indonesia untuk berbuka,” katanya.
Jumri yang kini mempunyai enam anak berkata, selepas ayahnya meninggal dunia, ibu dan empat adik beradiknya pulang semula ke Indonesia untuk menetap di kampung asal mereka.
“Mereka semua sudah balik menetap di kampung asal kami. Cuma saya dan seorang abang sahaja yang masih ada di sini.
“Saya tak pernah balik ke Indonesia kecuali pada tahun 2014. Sekali itu saja. Itupun kerana ibu saya meninggal dunia,” katanya yang kini berstatus penduduk tetap (PR).
Menurutnya yang bekerja di sebuah kilang papan di sini, jika diizinkan, dia mahu pulang ke kampung halamannya untuk bertemu saudara mara.
“Saya memang nak balik tapi atas kekangan wang dan masa masih belum ada kesempatan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah di sini, semalam.
0 comments:
Post a Comment