Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 4, 2017

[CAMERON HIGHLANDS] KES PENGUSAHA KEBUN RASUAH PEGAWAI MKN DITANGGUH


Kes pengusaha kebun rasuah pegawai MKN ditangguh 15 Mei


Kes rasuah melibatkan dua pengusaha kebun sayur haram di Cameron Highlands yang didakwa memberi suapan RM39,000 kepada pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) dua tahun lalu ditangguh 15 Mei depan untuk sebutan semula.

Hakim Datuk Habibah Yusuf menetapkan keputusan tersebut pada prosiding dalam kamar selepas menerima permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamariah Seman.

Kamariah ketika ditemui berkata, permohonan tersebut dikemukakan berikutan pihak pendakwaan masih menyemak dokumen yang berkaitan.

Terdahulu, tertuduh Chan Kok Fong, 40, dan Law Hee Thian, 38, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

Kok Fong yang merupakan pengusaha kebun bunga kekwa telah berdepan dengan tiga tuduhan iaitu dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM23,000 dan pertuduhan ketiga, menawarkan rasuah RM1,000 sebagai bayaran bulanan kepada pegawai MKN, Sanifah Yusof.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh memberi suapan RM20,000, pada 8 April 2015 dan RM3,000 pada 12 Mei 2015 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap kebun yang diusahakannya secara haram dan tanpa permit di Hutan Simpan Ringlet.

Manakala bagi tertuduh Hee Thian yang merupakan pengusaha kebun sayur didakwa memberi rasuah RM15,000 kepada penguat kuasa sama sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap kebun diusahakannya secara haram di Hutan Simpan Gunung Siku.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000.


0 comments:

share2