Walaupun hanya memiliki sebelah tangan yang normal, semangatnya membimbing pelajar-pelajar sekolah agar berjaya dalam hidup tidak pernah patah sekalipun berbeza agama dan budaya.
Itulah prinsip Ong Boo Siong, yang merupakan seorang pakar perunding sepenuh masa sejak tahun 2011.
Boo Siong berkata, sebelum ini beliau pernah berkhidmat sebagai guru komputer di sekolah namun sanggup melepaskan jawatannya itu untuk beri sepenuh masanya membantu masyarakat dan pelajar sekolah yang memerlukan.
Tambahnya, dirinya yang dilahirkan sebagai seorang Orang Kurang Upaya (OKU) banyak membuka mata dan minda para pelajar sekolah bagaimana orang OKU boleh berjaya dan menjadi orang yang berguna dan banyak membantu masyarakat.
Boo Siong bergambar bersama sebahagian pelajar SMK Seksyen 3 Bandar Kinrara, Puchong
“Dalam motivasi saya, peserta dapat melihat dengan jelas kecacatan pada tangan saya, mendengar kata-kata saya. Namun, apa yang lebih penting adalah menghayati semangat saya sebagai insan OKU. Saya tidak diminta dilahirkan dalam keadaan cacat. Tapi apabila saya faham bahawa kelahiran ini adalah satu ketentuan Tuhan, maka saya tidak lagi mengeluh.
Saya berasakan bahawa liku-liku hidup saya boleh dijadikan inspirasi kepada orang lain. Ini kerana saya selalu menjadikan insan OKU yang berjaya sebagai idola saya, semangat kejayaan mereka sebagai inspirasi hidup. Saya sedar bahawa kita adalah penentu untuk kejayaan atau kegagalan diri sendiri.
“Tidak kira kita cukup sifat atau cacat, tidak kira kita dilahirkan di keluarga miskin atau kaya, kitalah yang menentukan sendiri hidup ini, pilihan di tangan kita,” katanya.
Pengalaman diejek pacu semangat
Menceritakan tentang dirinya, beliau seorang yang sering diejek sejak kecil dan mudah berfikiran negatif sehingga menyebabkan dirinya ketika itu sangat membenci diri sendiri yang tidak sempurna.
Boo Siong berkata, dia sangat kecewa dan malu dengan kecacatan tangannya sehinggakan ketika di sekolah menengah, dirinya berasa bimbang jika terserempak dengan budak kecil kerana takut dirinya diejek.
“Apabila mereka terserempak saya, mereka akan menjerit, “Eh, orang tangan putus!”, “Ha Ha, orang tak ada tangan!” dan macam-macam lagi ejekan sehingga mendapat idea apabila terserempak dengan budak kecil, sebelum dia nampak tangan kanan saya, saya akan pusingkan badan saya ke sebelah kanan.
“Dengan demikian, budak itu hanya nampak tangan kiri saya saja. Apabila dia sudah beredar lalu, saya pun mulakan langkah. Saya berbuat demikian dengan alasan yang sama, iaitu supaya mereka tak nampak tangan saya yang cacat. Namun, kadang-kadang saya tidak sempat untuk mengelak. Maka terpaksalah saya menempuhinya dengan perasaan yang sedih dan kecewa.
Boo Siong turut menerima jemputan dari sekolah agama untuk memberikan motivasi kepada mereka
Namun, katanya beliau mula berubah sehingga beliau terbaca sebuah buku yang bertajuk Think and Grow Rich yang ditulis oleh Napolean Hill.
“Seingat saya ketika itu saya berada di tingkatan tiga. Saya pinjam buku itu di perpustakaan sekolah. Ayatnya tertulis, 'Sekiranya anda ingin orang lain menerima anda, anda terlebih dahulu menerima diri sendiri seadanya”.
“Rangkap ayat tersebut menyebabkan saya terfikir bahawa saya sendiri tidak dapat menerima keadaan diri, apatah lagi orang lain! Dari situlah saya berubah sedikit demi sedikit,” katanya.
Boo Siong yang berasal dari Kelantan berkata, ibunya selalu memberi nasihat agar melihat contoh kepada insan-insan OKU yang lain.
Menurutnya, apabila dia melihat saya sedih dan diejek budak, dia akan kata bahawa biar mereka berkata apa sebab itu mulut mereka. Apabila ternampak insan OKU yang berusaha gigih, dia akan memberitahu saya bahawa beliau akan menjadikan kegigihan mereka sebagai contoh untuk saya berusaha.
Praktik tujuh langkah
Dengan didikan ibu dan membaca buku-buku motivasi, akhirnya kini beliau menjadi seorang berfikiran positif dan berjaya menyusun langkah yang mampu mentransformasikan dirinya untuk berjaya.
“Tujuh langkah yang dilakukan oleh saya sehingga sekarang ialah bersyukur, keyakinan diri, merancang, bermuhasabah, berusaha, praktis dan berbakti. Langkah-langkah ini perlu tersusun sebegini dan tidak boleh dilangkau langkahnya kerana pasti tidak akan menjadi transformasi itu.
“Saya menyusun ciri-ciri tersebut menjadi langkah demi langkah. Langkah-langkah tersebut umpama satu perjalanan hidup. Maka langkah-langkah tersebut umpama satu GPS untuk kita mencapai destinasi hidup, menjadi satu proses kejayaan,” katanya.
Terserlah kegembiraan pada wajah pelajar-pelajar apabila mendengar ceramah motivasi disampaikan oleh Boo Siong
Dalam pada itu, beliau turut menasihati agar golongan OKU tidak menjadikan kecacatan dialami sebagai penghalang untuk berjaya dalam hidup.
“Jadikan kecacatan itu untuk buktikan kepada masyarakat bahawa kita juga boleh berjaya dalam hidup dan menjadi seorang yang mampu berbakti kepada keluarga dan juga masyarakat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor