Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 14, 2017

TERLANTAR AKIBAT PENYAKIT MISTERI


Terlantar akibat penyakit misteri


Tasek Gelugor - Siapa sangka seorang pemuda yang dahulu aktif, kini hanya mampu terbaring lemah di rumah akibat penyakit misteri.

Penyakit dihidapi Nor Akmar Ismail, 44, yang tinggal bersama dua adiknya di Taman Senangan, Telok Air Tawar menyebabkan dia memerlukan bantuan ahli keluarga dalam urusan harian.

Adiknya, Nazrulizam Ismail, 34, berkata, abangnya mengalami masalah kesihatan sejak setahun lalu hingga tidak mampu bergerak dan hanya terlantar di rumah.

Menurutnya, mereka tidak pasti penyakit sebenar dihidapi abangnya itu memandangkan sebelum ini dia hanya disahkan menghidap penyakit darah tinggi.

“Abang tinggal bersama saya dan adik bongsu. Dulu dia boleh bergerak dan bercakap, tapi mula berubah hampir setahun lalu. Dia kerap nak marah-marah. Sebelum tu ada bawa dia pergi hospital dan doktor kata dia ada darah tinggi. Itu saja, tak ada penyakit lain.

"Tapi sekarang macam inilah keadaan dia, terbaring saja. Nak bergerak pun perlu dipapah. Buat masa ni saya dan adik bongsu yang uruskan dia untuk mandi, makan minum dan lain-lain.

"Dia pernah kemalangan jalan raya masa umur 18 tahun. Kalau nak kata kesan kemalangan tu, dah lama berlaku. Jadi agak pelik keadaannya sampai macam ni sekali," katanya.

Menurut Nazrulizam, pesanan arwah ibu bapa sebelum meninggal dunia sentiasa diingati agar mereka saling membantu.

"Itulah kami pegang teguh selama ini. Biar apa yang berlaku, saya tetap akan jaga abang. Biarpun kami bertiga di rumah ni, tapi adik-beradik lain tak putus beri bantuan dan selalu jenguk kami di sini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pendapatannya sebagai pembantu kedai dan adiknya yang bekerja kilang kadangkala tidak mencukupi.

“Rumah kami ni rumah sewa, kena bayar RM530 sebulan. Saya pula gaji hari. Ada hari dapat pergi, ada hari tak dapat. Kalau ikutkan memang tak cukup, jadi saya harapkan sumbangan untuk ringankan beban kami,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Kadun Telok Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad hadir bersama Penghulu Kawasan Telok Air Tawar, Azhari Zainal menziarahi keluarga ini, semalam. Turut hadir, Persatuan Kebajikan Berkat Seberang Perai Utara.

Mustafa Kamal berkata, beliau difahamkan Nazrulizam bersama adik bongsu mereka yang menjaga Nor Akmar sekarang.

"Kadang-kadang Nazrulizam tak dapat kerja untuk jaga abangnya, sedangkan perlu bayar sewa dan bil-bil lain. Kita akan panjangkan masalah ini kepada pihak zakat dan JKM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


0 comments:

share2