Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 27, 2017

‘TAK PERNAH TERFIKIR AKAN DIHARGAI'


‘Tak pernah terfikir akan dihargai’


Tampin - Seorang penarik kereta tidak menyangka maklumat yang disalurkan kepada anggota polis dua minggu lalu sehingga tertangkap seorang pencuri melayakkan dia menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusoff.

Surat penghargaan itu disampaikan melalui Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-210 Tahun 2017 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di Stadium Tampin, kelmarin.

Mohd Syarril Mohamad, 32, berkata, maklumat yang diberikannya itu mengenai seorang lelaki yang ingin menjual sebuah televisyen dengan harga murah menyebabkan dia berasa curiga.

“Saya tak sangka pula dengan hanya maklumat ringkas seperti itu, polis berjaya menangkap seorang lelaki yang dipercayai mencuri televisyen berkenaan di sebuah kedai makan di Kampung Baru Tampin.

“Tak pernah terfikir saya akan terima penghargaan seperti ini. Saya berharap lebih ramai yang akan beri maklumat kepada polis jika tahu apa-apa perkara mencurigakan supaya kita dapat banteras jenayah,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada sambutan berkenaan, seramai enam orang awam dan 22 pegawai serta anggota polis menerima surat penghargaan.

Turut hadir, Adun Gemas, Datuk Abd Razak Ab Said dan Adun Gemencheh, Mohd Isam Mohd Isa.

Sementara itu, Hamazah berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang awam dalam membantu pasukan polis membanteras sebarang bentuk jenayah dan juga penyalahgunaan dadah.

Malah menurutnya, pihaknya kini dalam usaha membanteras habis-habisan penyalahgunaan dadah khususnya di kawasan Gemas dan Gemencheh serta berharap masyarakat dapat bersama-sama dengan polis dalam usaha berkenaan.


0 comments:

share2