Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 27, 2017

[KUANTAN] INOVASI EMPAT PENSYARAH


Inovasi empat pensyarah


Empat pensyarah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) mencipta sebuah mesin mengupas dan memotong ubi kentang bagi mengatasi masalah dihadapi sebuah syarikat membuat rempeyek.

Penyelidikan di bawah program Jaringan Penyelidikan Swasta-Awam (PPRN) itu merupakan satu model kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan industri untuk menggalakkan inovasi.

Ketua Penyelidik, Noraida Mohamad Ali berkata, dia bersama tiga rakan penyelidik yang lain mengambil masa kira-kira enam bulan untuk menghasilkan mesin berkenaan dengan kos RM33,500.

Menurutnya, tempoh tersebut merangkumi kajian dan menghasilkan model mesin bagi mengatasi masalah dihadapi syarikat D’Unggul Kekal Enterprise yang beroperasi di Tampoi, Johor.

“Masalah dihadapi syarikat terbabit adalah sukar mengupas dan memotong kiub kentang dalam kuantiti yang banyak kerana menggunakan kaedah manual.

“Kualiti kiub kentang dihasilkan juga tidak konsisten daripada segi saiz dan berlaku pemerangan pada produk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Jaringan PPRN yang dirasmikan oleh Exco Koperasi,Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin dan dihadiri Pengarah Polisas, Norlida Abd Razak di Polisas, di sini.

Noraida berkata, bagi menyelesaikan masalah dihadapi industri, mesin pemotongan sayur dan buah sedia ada direka bentuk serta dicipta semula untuk menghasilkan mesin pelbagai fungsi dengan kadar pemprosesan tinggi.

Katanya, inovasi dilakukan membolehkan ubi kentang diproses secara berterusan bermula dari pengupasan kulit dan pembersihan bahan mentah, diikuti pemotongan mengikut bentuk dikehendaki pengusaha.

“Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat 93 peratus selain mengurangkan 80 peratus tenaga buruh dengan pengeluaran 200 kilogram (kg) sejam,” katanya.

Tiga penyelidik lain ialah ialah Siti Shafini Muhamad, Fathmah Salim dan Azhari Abd Majid.


0 comments:

share2