Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 23, 2017

TERGAMAM DIKEJAR ANGIN RIBUT


Tergamam dikejar angin ribut


Batu Pahat - “Tergamam, terkejut dan bercampur takut apabila lihat angin ribut yang datang seolah-olah mengejar pak cik,” kata seorang warga emas yang juga mangsa ribut di Kampung Sri Dayong, Sri Medan, Rahmat Abd Rahim, 68, kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu, warga emas berkenaan berada di halaman rumahnya, namun dengan tiba-tiba sahaja dia terlihat daun yang berterbangan menuju ke arahnya.

Menurutnya, kumpulan angin kencang itu dilihat datang dari arah Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) yang berada beberapa meter dari kediamannya, seakan menuju ke arahnya menyebabkannya bergegas lari masuk ke dalam rumah menyelamatkan diri.

Katanya, sebaik masuk ke dalam rumah dia terdengar bumbung rumahnya bergegar berpunca daripada angin ribut itu dan terus mencari isterinya, Fatimah Husin, 67, kerana bimbang dengan keselamatannya.

“Akibat takut dengan angin kencang itu, pak cik sempat laungkan azan dan beberapa ketika kemudian ia reda, disusuli pula dengan hujan lebat kira-kira sejam.

“Sebaik berhenti hujan, pak cik periksa kawasan kediaman dan dapati bumbung sebahagian rumah tercabut.

“Walaupun terdapat kerosakan di rumah pak cik, namun pak cik tetap bersyukur kerana kami berdua selamat daripada kecederaan. Tetapi agak terkejut kerana ribut sekuat ini, adalah kali pertama berlaku di sini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Tambah Rahmat lagi, dia juga bersyukur kerana kesusahannya ditimpa bencana berkenaan mendapat perhatian Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Sementara itu, Noraini berkata, pihaknya akan memberikan bantuan bagi meringankan beban kepada mangsa selain melakukan siasatan jika terdapatnya mangsa lain yang terlibat sama dalam insiden berkenaan.

“Kita hadir melihat sendiri kediaman mangsa ribut ini. Dalam masa yang sama kita beri bantuan awal untuk meringankan beban mangsa sekeluarga,” katanya.

Dalam kejadian sama yang menimpa empat keluarga itu, mereka turut menerima bantuan awal daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta kerosakan masing-masing dinilai untuk bantuan susulan.


0 comments:

share2