Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 27, 2017

[ROMPIN] MANFAAT REZEKI MUSIM BANJIR


Manfaat rezeki musim banjir


Paras air sungai yang tinggi hingga melimpah ke atas jalan dan kawasan rendah dimanfaatkan penduduk Kampung Gading, di sini, untuk menjala atau menahan pukat.

Peluang yang disifatkan sekali tahun itu memang tidak sia-sia kerana sejak kelmarin hasil sungai yang diperoleh tidak menghampakan.

Penduduk Kampung Gading, Safri Sulong, 52, berkata, aktiviti menjala di beberapa kawasan yang dinaiki air di kampungnya itu mula dilakukan kelmarin yang turut disertai oleh beberapa ahli keluarganya.

Menurutnya, antara jenis ikan yang banyak adalah ikan sepat dan dia berjaya menjala dua kilogram ikan itu yang sedap dimasak berkuah atau digoreng garing untuk dijadikan lauk makan dengan nasi.

“Ini dah masuk hari kedua (semalam) saya buat aktiviti ni, itu pun jika tiada kerja, kalau ada kerja lain saya akan buat kerja dulu lah, tiap-tiap kali banjir memang macam ini lah pasang jaring, menjala ikan.

“Hasil yang saya dapat ni tak jual pun, semua untuk makan sendiri, semalam (kelmarin) dapat dalam dua kilo, semua habis dah masak, makan dengan keluarga, goreng cicah dengan sambal kicap atau blacan memang sedap, hari ini (semalam) tak tahu lagi dapat banyak mana,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menyasarkan ikan bersaiz lebih besar, Md Esa Ismail, 61, memilih untuk menahan pukat bermula kelmarin yang memang sedia ada di rumahnya untuk mendapatkan ikan-ikan yang biasa ada pada musim banjir.

Beliau berkata, kaedah yang itu biasa digunakan untuk mencari ikan tembakang, haruan dan juga sepat yang selalunya mudah didapati di kawasan limpahan air untuk dijadikan lauk-pauk makan di rumah.

“Kalau tak guna masa banjir ini, saya biasa guna pukat ini di sungai atau laut, kebetulan sungai besar dekat kampung ni boleh tahan di sini, saiz ikan boleh cecah lima hingga enam inci, bolehlah untuk buat makan.

“Setiap dua jam atau tiga jam sekali saya akan tengok dengan mengharung air saja sebab tak dalam mana, bot ada tapi tak padan nak bawa, kalau dibiarkan nanti bimbang juga dicuri orang pula sebab tiada siapa nak tunggu, lagi pun kat tepi jalan,” katanya.

Rompin merupakan antara daerah di Pahang yang terjejas akibat banjir yang mula melanda beberapa kampung sejak Selasa lalu dan jumlah mangsa hingga kini terus mencatatkan peningkatan.


0 comments:

share2