Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 18, 2017

PEKA DENGAN MASALAH RAKYAT


Peka dengan masalah rakyat


Seremban - Jentera pentadbiran kerajaan di peringkat akar umbi perlu peka dan bertanggungjawab dengan masyarakat setempat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jentera kerajaan terutama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu memastikan rakyat miskin terbela dan mendapat bantuan.

Beliau berkata, Dasar Jaringan Keselamatan Sosial yang digubal kerajaan negeri bertujuan membela rakyat dan dasar itu perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Pemimpin di peringkat daerah, mukim dan kampung mesti berupaya merasai denyut nadi rakyat. Mereka perlu menjadi jari-jemari kerajaan.

“Mereka perlu peka dan sensitif dengan keadaan sekeliling. Kena ambil tahu rakyat yang susah dan perlu dibantu. Jalankan tanggungjawab dan pikul amanah dengan baik, jangan biar anak-anak miskin macam itu sahaja, berdosa kita biarkan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Projek Bantuan Rumah Bank Islam di Klana Resort Seremban, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Norhayati Omar; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 23 keluarga kurang berkemampuan di negeri ini terpilih menyertai inisiatif tanggungjawab korporat Bank Islam iaitu Projek Bantuan Rumah Bank Islam 2016.

Sementara itu, Zukri berkata, sebanyak 10 buah rumah baharu telah dibina, manakala 13 buah rumah yang dibaik pulih menelan belanja lebih RM700,000.

“Projek ini dibiayai oleh peruntukan dana zakat perniagaan tahun kewangan 2015 meliputi daerah Seremban, Kuala Pilah, Port Dickson, Jempol, Tampin dan Rembau.

“Kita telah mulakan projek ini sejak 2008 sebagai projek tahunan. Hingga kini, sudah lebih 200 buah rumah telah dibina dan dibaik pulih. Lebih RM6 juta telah dibelanjakan untuk memberikan bantuan keperluan asas ini kepada golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Pada majlis itu juga, seramai 100 pelajar asnaf menerima sumbangan zakat dan pek Kembali Ke Sekolah bernilai RM300 dari Bank Islam yang bertujuan meringankan perbelanjaan persekolahan seperti yuran dan keperluan pakaian.


0 comments:

share2