Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 22, 2017

NAMA NAJIB TERPATERI SEBAGAI ADIWIRA ROHINGYA


Nama Najib terpateri sebagai Adiwira Rohingya


SATIRANYA, OIC sinonim dengan ungkapan “Oh I See” (Oh saya lihat) … namun segala-galanya bakal berubah sekiranya apa yang terkandung dalam resolusi mesyuarat luar biasa OIC membincangkan perihal Rohingya pada 19 Januari lalu berjaya dilaksanakan.

Sekalung tahniah harus dihadiahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadikan mesyuarat ini satu kenyataan. Ucapan syabas juga harus diberikan kepada Duta Khas OIC, Tan Sri Syed Hamid Albar yang bertungkus-lumus memperjuangkan isu Rohingya di segala sudut dunia sejak 2014.

Tidak ketinggalan syabas juga kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta tim Wisma Putra yang terbang ke 56 buah negara menyampaikan jemputan dan menganjurkan mesyuarat ini dalam waktu yang amat singkat.

Tanggal 19 Januari 2017, Kuala Lumpur menjadi saksi kepada pertemuan 57 negara-negara anggota OIC hadir dengan satu niat dan satu hasrat, iaitu meminjamkan suara sokongan kepada umat Rohingya; serta memanjangkan suara amaran kepada Kerajaan Myanmar.

Asean Rohingya Center (ARC) sebagai sebuah think-tank yang komited dalam kerja-kerja advokasi di peringkat Asean dan melaksanakan projek-projek menyampai kepada masyarakat Rohingya tempatan mempunyai pandangan yang tersendiri terhadap output kepada mesyuarat luar biasa OIC tersebut.

Esok masih ada bagi Rohingya. Mesyuarat ini meraih harapan kepada umat Rohingya di seluruh dunia bahawa nasib mereka dipedulikan oleh masyarakat antarabangsa. Dengan sokongan 57 buah negara OIC ia bukan satu angka yang kecil kerana ia diwakili oleh negara-negara dari benua Asia, Afrika dan Eropah.

Ia adalah satu kemenangan moral dan diplomatik kepada pendokong-pendokong Rohingya serta kejayaan kepada Syed Hamid yang berjaya meyakinkan OIC dan Kerajaan Malaysia bahawa inilah masanya.

Perdana Menteri, namanya akan terpateri dalam sejarah sebagai Adiwira Rohingya. Tidak ada seorang pemimpin dunia Islam yang berani dan lantang menempelak Myanmar dan sekaligus mengambil peranan sebagai arkitek dalam melakarkan agenda memperjuangkan Rohingya.

Najib membuktikan bahawa beliau, “Walk the Talk” selepas perhimpunan Solidariti Bersama Rohingya di Tasik Titiwangsa 9 Disember 2016 lalu. Dalam jangka masa kurang 2 bulan, perkataan Rohingya yang dinafikan kewujudannya oleh Kerajaan Myanmar selama ini, kini bermain di bibir media di seluruh dunia.

Apakah selepas ini? Komitmen kerajaan Malaysia dalam memperjuangkan Rohingya sudah menjadi satu fakta dan kekal dalam coretan sejarah. Malaysia komited menyumbang RM10 juta dalam bantuan kemanusiaan dan pembangunan untuk etnik Rohingya di Wilayah Rakhine, Utara Myanmar.

Kerajaan Malaysia juga berbesar hati memberi peluang pekerjaan kepada pelarian Rohingya seramai 56,000 di Malaysia untuk bekerja secara sah – ini adalah rahmat bagi umat Rohingya di Malaysia. Kini, tiada siapa lagi yang boleh mempertikaikan peranan Malaysia dalam memperjuangkan Rohingya

Kini telah tiba masanya, OIC secara kolektif perlu mengambil inisiatif. Resolusi mesyuarat secara eksplisit menyerahkan tugasan kepada Sekretariat OIC yang diketuai oleh Setiausaha Agongnya, Dr. Yousef Al Othaimeen untuk menggerakkan grand-design yang telah dilakarkan oleh mesyuarat. Pada hemat saya ia adalah satu tugas yang paling besar yang pernah diberikan kepada sekretariat OIC sejak penubuhannya 1969.

Apatah lagi Dr Yousef hanya memegang jawatan tersebut baru tiga bulan.

Pada hemat saya apa yang perlu Dr Yousef lakukan sekarang adalah seperti berikut:

Menggunakan kepakaran dan pengalaman Syed Hamid sebagai penasihat utama sekali gus memberikan beliau mandat baru sebagai Duta Khas OIC dengan kemudahan yang lengkap. Kunci untuk membuka Myanmar kepada dialog yang lebih konstruktif adalah melalui Asean, di sini Malaysia dan Indonesia mempunyai kelebihannya.

Menggunakan jaringan yang ada pada kumpulan pemikir dari negara-negara Asean khususnya Malaysia yang sejak sekian lama melaksanakan gerak kerja dalam bentuk advokasi terbuka dan tersembunyi serta berpengalaman menghantar bantuan kemanusiaan ke Rakhine – mereka ini adalah aset sebagai barisan hadapan dalam pembangunan semula Rohingya di Rakhine kelak.

Ini bermakna Setiausaha Agong OIC tersebut hendaklah mewujudkan bilek gerakan di Kuala Lumpur agar gerak kerja strategik dapat dilaksanakan. Ini kerana Kuala Lumpur adalah pusat gerak nadi yang memperjuangkan isu Rohingya serta segala modal insan dalam kepakaran dan pengalaman terdapat di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu Dr Yousef juga harus menggerakkan satu pasukan penghubung khas (special contact group) yang menumpu dalam melaksanakan gerak kerja diplomatik dalam mendapatkan sokongan dari negara-negara Eropah, Rusia, China dan seterusnya membawa isu Rohingya ke PBB. Dalam konteks ini Sekratariat OIC perlu menggunakan khidmat para pelobi berpengaruh khususnya dalam meyakinkan kerajaan barat.

Sekretariat OIC perlu menampilkan satu rangka kerja berjadual serta mengadakan mesyuarat berkala dengan semua pihak berkepentingan selain melibatkan pasukan pakar agar segala inisiatif yang rangka tidak sekadar laporan kertas kerja belaka.

Perlu diingat OIC tidak boleh gagal dalam isu ini kerana kegagalan OIC akan melumpuhkan relevansinya di masa akan datang. Justeru itu Malaysia sebagai negara penggerak utama perlu menawarkan diri kepada sekretariat OIC agar satu Pusat OIC peringkat Asia Tenggara dapat diwujudkan di Kuala Lumpur dan sekali gus menjadikan OIC lebih efektif dalam menangani isu Rohingya.

Harapan kita dan seluruh umat Rohingya ialah OIC di bawah kepimpinan baru dan disokong oleh Kerajaan Malaysia yang komited akan dapat menzahirkan satu iltizam dan pengurusan kepimpinan yang cekap dalam menangani isu Rohingya dan seterusnya menguburkan persepsi OIC dengan nada Oh I See. Masanya telah tiba agar kita memberikan harapan masa depan yang lebih baik kepada umat Rohingya.



DR HELMI IBRAHIM
Pengarah Eksekutif, Asean Rohingya Center (ARC)


0 comments:

share2