Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 25, 2017

[MARAN] 712 MANGSA BANJIR DIPINDAH KE PUSAT PEMINDAHAN


Banjir baru


Seramai 712 mangsa dipindahkan ke 11 pusat pemindahan banjir melibatkan 196 keluarga di Daerah Maran, sehingga hari ini.

Pegawai Daerah Maran yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Maran Dato' Syed Ahmad Fuad Syed Taha, berkata, jumlah itu dijangka meningkat sekiranya hujan lebat tidak berhenti dalam tempoh 24 jam ini.

Justeru beliau menasihati orang-ramai mengambil langkah berjaga-jaga lebih-lebih lagi penduduk yang tinggal berdekatan kawasan sungai dan segera berpindah apabila diminta untuk berbuat demikian.

"Jumlah tertinggi ialah sebanyak 204 orang melibatkan penduduk Taman Maran Jaya dan Taman Impian yang ditempatkan di Masjid Asy Syakirin. Selain di Taman Sri Chedong berjumlah 169 orang.

"Di Jengka pula sebanyak 22 penduduk dipindahkan ke kawasan pemindahan Dewan Jengka 11 melibatkan empat buah keluarga tanah rancangan tersebut," katanya ketika dihubungi pemberita.

Beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini bencana, menerusi Pusat Khidmat Operasi Banjir (PKOB) Negeri Pahang (PKOB) di talian 095130972 atau PKOB Maran 094771058 dan 094771048.

Dalam pada itu, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Maran, (JKR), Mohd Zaky Zakaria berkata, sehingga jam 1 tengahari semalam,Jalan Persekutuan FT64 dari Maran ke Simpang Sungai Tekam Utara melalui Sungai Jerik telah ditutup.

Beliau berkata, jalan utama yang menghubungkan sempadan seperti di sempadan Temerloh - Maran, sempadan Kampung Awah ke Bandar Pusat Jengka dan Pekan Tajau ke Bandar Pusat masih dibuka laluannya kepada pengguna.

"JKR bertanggungjawab dari segi sistem perhubungan dan jalan raya. Sebarang maklumat lanjut berkenaan penutupan jalan boleh didapati menerusi Bilik Gerakan Bencana JKR Maran atau twitter @JKRMaran di mana maklumat dikemaskini selama dua jam sekali," katanya.


0 comments:

share2