Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 19, 2017

[KUANTAN] SASAR KEHADIRAN SEJUTA PELANCONG CHINA


Sasar kehadiran sejuta pelancong China


Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran sejuta pelancong dari China sempena Tahun Melawat Pahang (TMP) tahun ini.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, sasaran itu berdasarkan sambutan menggalakkan daripada pelancong negara berkenaan ke negeri ini setiap tahun.

Menurutnya, statistik yang direkodkan pada tahun 2015 mendapati kehadiran pelancong dari negara itu seramai 500,000.

“Justeru, kita optimis mampu mencapai sasaran yang ditetapkan kerana banyak program yang disediakan untuk mereka sempena TMP 2017.

“Kebanyakan pelancong dari China gemar ke kawasan Tanah Tinggi seperti Genting Highlands dan pantai kerana tarikan yang tersendiri,”katanya kepada media selepas Majlis Sidang Media Majlis Pengisytiharan Tahun Melawat Pahang 2017, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.

Mohd Sharkar berkata, lokasi menarik yang terdapat di Pahang memberi kelebihan kerana pelancong China sememangnya amat meminati kawasan pantai dan tanah tinggi.

Beliau berkata, menyedari kelebihan itu, pihaknya menganjurkan program memancing khusus untuk pelancong China pada Ogos tahun ini di Rompin.

“Aktiviti itu memasuki tahun kelima diadakan dan ia sangat menarik untuk melihat semua peserta adalah pelancong China,”katanya.

Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, Majlis Pengisytiharan Tahun Melawat Pahang 2017 yang bakal diadakan esok akan disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Ahmad Shah bertempat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan pada jam 8 malam.

Sehubungan itu katanya, pelbagai acara menarik disediakan untuk pengunjung bermula jam 10 pagi.

“Antara aktiviti yang disediakan adalah pameran dan jualan agensi kerajaan, jualan pakej pelancongan, jualan produk makanan tempatan termasuk ‘food truck’ dan sebagainya.

“Pada sebelah malam, persembahan nyanyian daripada artis tempatan turut diadakan memaparkan kebudayaan 11 daerah di negeri ini,”katanya.


0 comments:

share2