Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 21, 2017

[KUANTAN] KEMPEN TAHUN MELAWAT PAHANG 2017 SASAR 15 JUTA PELANCONG



Kedatangan pelancong ke Pahang dijangka akan meningkat tahun ini dengan sasaran 15 juta mampu dicapai. Ini berdasarkan jumlah pelancong yang dicatatkan pada tahun 2015 sekitar 10.5 juta manakala pada tahun 2016 pula dianggarkan 12.5 juta. Sehubungan dengan itu pelbagai kempen dijalankan bagi menjadikan sektor pelancongan sebagai produk yang mampu memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat Pahang khasnya diantaranya dengan menjadikan Tahun Melawat Pahang 2017 sebagai pemangkin bagi mencapai sasaran tersebut.

"Tahun Melawat Pahang 2017 ini akan menjadikan keindahan semulajadi negeri Pahang sebagai destinasi pilihan pelancong akan memberikan peluang ekonomi kepada rakyat. Pengusaha hotel, agen pelancongan, homestay antara contoh mereka yang mendapat manafaat namun perlu diingatkan juga tanggungjawab mereka menjaga kebersihan alam sekitar dan kemudahan asas serta infrastuktur diurus dengan baik bagi menyambut bilangan pelancong yang semakin bertambah "titah KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang telah menyempurnakan  Majlis Pengistiharan Tahun Melawat Pahang 2017 di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan di hadapan 10,000 pengunjung yang hadir.

Majlis Pengistiharan Tahun Melawat Pahang 2017 dimeriahkan dengan  persembahan kebudayaan dari 11 buah daerah di negeri Pahang dengan pembabitan 120 penari dari seluruh negeri yang dikendalikan oleh JKKN Pahang selain persembahan pentas oleh artis tempatan.

Pelbagai aktiviti diadakan bagi sempena pengistiharan Tahun Melawat Pahang antaranya pameran dan jualan dari 11 daerah di Negeri Pahang serta pakej dari agensi pelancongan, hotel, pengusaha produk dan homestay. Turut diadakan adalah jualan produk makanan tempatan termasuk 'Food Truck" jualan produk berasakan pertanian dari FAMA negeri serta jualan/pameran kraftangan tempatan sejak jam 10 pagi lagi.

Promosi bagi Tahun Melawat Pahang telah dimulakan sejak bulan April 2016 lagi bagi memperkenalkan pelbagai keunikan dan tarikan pelacongan seperti tanah tinggi, pulau dan pantai, alam semulajadi, kebudayaan dan makanan yang unik. Sebanyak 70 acara telah dirancang dan diadakan di Negeri Pahang dan ada diantaranya membabitkan penyertaan antarabangsa seperti Pahang international Marathon 2017, Fraser's International Bird Race Competition, Royal Pahang Billfish International Challenge dan Sultan Ahmad Shah Tioman International Eco Challenge 2017.

Bagi memudahkan pelancung mendapatkan pelbagai aplikasi maklumat pelancongan di Negeri Pahang satu applikasi Visit Pahang juga telah dibangunkan dan boleh didapati melalui App Store bagi pengguna Apple dan di Google Play bagi pengguna Android.

Turut sama hadir di majlis berkenaan YAB Dato' Seri DiRaja Adnan Hj Yaakob, Menteri Besar Pahang, Pengerusi Pelancungan dan Kebudayaan Negeri Pahang YB Dato Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang, ADUN Pahang, Ketua-ketua Jabatan, kepimpinan masyarakat dan juga ribuan pengunjung.

Majlis juga dimeriahkan dengan sidang video khas bersama YAB Dato' Seri Najib Tun Razak Perdana Menteri Malaysia bersama KDYMM Pemangku Raja Pahang yang turut teruja dengan kesungguhan Kerajaan Negeri Pahang mempromosikan Tahun Melawat Pahang, Juga dipaparkan rakaman video khas sempena Tahun Melawat Pahang 2017 bersama YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato'Seri Zahid Hamidi dan YB Dato Nazri Tan Sri Aziz Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia selain persembahan animasi yang berjaya menarik perhatian pengunjung sempena Majlis Perngistiharan Tahun Melawat Pahang 2017.






0 comments:

share2