Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 24, 2017

[KUANTAN] BUKIT PELINDUNG DITUTUP KEPADA ORANG RAMAI


Bukit Pelindung ditutup kepada orang ramai


Orang ramai tidak dibenarkan memasuki menara tinjauan di Bukit Pelindung bagi menyaksikan panorama seluruh bandar ini dari puncak bukit itu kerana lokasi tersebut kini ditutup secara rasmi, 17 Januari lalu.

Maklumat itu dikongsi seorang pendaki, Abdul Rahim Othman (RBO) menerusi posting di laman sosial, Facebook miliknya.

Menurutnya, penutup tersebut dibuat kerana kawasan itu dijadikan sebagai kawasan larangan atau diklasifikasikan kawasan sensitif yang mengandungi aset penting kepada negeri dan negara.

“Ini demi keselamatan negeri dan negara kawasan sensitif diwajibkan ada ‘Buffer Zone’. Jadi semua pihak tak boleh berkompromi dan kena akur kerana ia berkaitan soal keselamatan negeri dan negara,” katanya.

Sebelum itu, Dia pernah mendedahkan terdapat kawad duri yang menghalang orang ramai memasuki kawasan tersebut.

Dalam pada itu, Abdul Rahim mengucapkan terima kasih kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Jabatan Perhutanan, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Telekom Malaysia (TM) dan Pejabat Daerah Kuantan kerana menaikkan papan notis di laluan itu.

“Papan notis dipasang di laluan tersebut, Well Done,” katanya.

Menurutnya, dia dimaklumkan pihak MPK sedang berusaha mengenal pasti lokasi baharu di Puncak Pelindung yang lebih sesuai dan jauh dari kawasan larangan.

Difahamkan, orang ramai terutamanya pendaki bukit itu tidak dibenarkan mengambil gambar termasuk swafoto berlatar belakang panorama bandar ini.

“Apa pun, diharap lokasi baru dapat diusahakan dengan kadar segera bagi mengelak rasa kekecewaan orang ramai kerana setiap pendaki akan anggap satu kejayaan penat lelah mendaki apabila tiba di kemuncak,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian berkata, pihaknya kini dalam proses mengenal pasti lokasi dan penyediaan reka bentuk di kawasan itu.

“Perancangan ke arah itu memang ada tetapi perlukan masa untuk memastikan lokasi yang sesuai,” katanya.


0 comments:

share2